HIGUAIN (kiri) terpaksa ditenangkan pemain lain selepas tidak berpuas hati dilayangkan kad kuning kedua.
HIGUAIN (kiri) terpaksa ditenangkan pemain lain selepas tidak berpuas hati dilayangkan kad kuning kedua.
AP

Milan: Napoli menerima tamparan hebat dalam usaha memburu kejuaraan berikutan penggantungan empat perlawanan terhadap penjaring gol terbanyak Serie A Gonzalo Higuain kerana membantah keputusan pengadil secara keras.

Higuain, yang menjaringkan 30 gol dalam 31 perlawanan, gagal mengawal perasaannya apabila dia meletakkan tangannya di dada pengadil ketika dia dibuang padang berikutan dua kad kuning ketika kalah 1-3 kepada Udinese dalam aksi tegang di Stadio Friuli, Ahad lalu.

Kekalahan itu menyebabkan Napoli ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Juventus dan hanya empat mata di depan pasukan tangga ketiga AS Roma dengan baki tujuh perlawanan.

Higuain, yang terpaksa dikeluarkan dari padang oleh rakan sepasukannya, akan terlepas aksi menentang Verona, Inter Milan, Bologna dan mungkin paling penting berdepan Roma.

Jurulatih Napoli Maurizio Sarri turut digantung satu perlawanan selepas beliau turut diarah meninggalkan padang kerana memprotes.

Difahamkan pengadil Massimiliano Irrati tidak menjelaskan secara terperinci mengenai insiden itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 7:16 AM