SUSO (tengah) dicabar pemain Bologna, Andrea Poli (kiri) dan Lyanco dalam laluan menjaringkan gol pembukaan di San Siro. — FOTO AFP
SUSO (tengah) dicabar pemain Bologna, Andrea Poli (kiri) dan Lyanco dalam laluan menjaringkan gol pembukaan di San Siro. — FOTO AFP
AFP

AC Milan menyemarakkan semula impian ke Liga Juara-Juara selepas menang 2-1 ke atas Bologna awal pagi tadi ketika tiga pemain dibuang padang serta pertelagahan antara pemain tengah Perancis, Tiemoue Bakayoko dan jurulatih Gennaro Gattuso di tepi padang menambah dramatik.

Pasukan kendalian Gattuso melonjak semula ke tangga kelima – tiga mata di belakang Atalanta yang menghuni tempat terakhir ke Liga Juara-Juara – dengan baki tiga perlawanan musim ini.

Milan terkeluar daripada saingan untuk ke Eropah selepas seri dengan Parma dan tewas kepada Torino namun kini kembali terikat mata dengan pasukan tangga keenam AS Roma.

Juara Juventus dan pasukan tangga kedua Napoli sudah memastikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan namun saingan bagi dua tempat terakhir masih sengit antara Inter Milan dengan 63 mata, Atalanta (62), AC Milan (59), Roma (59) dan Torino (57).

REAKSI Gattuso (tengah) selepas menang aksi Serie A, awal pagi tadi. — FOTO AFP
REAKSI Gattuso (tengah) selepas menang aksi Serie A, awal pagi tadi. — FOTO AFP

“Ini mata penting, kami berpeluang ke Liga Juara-Juara,” kata Gattuso, pasukannya menyasarkan kembali ke pertandingan elit bola sepak Eropah buat kali pertama sejak musim 2013-14.

Pemain sayap Sepanyol, Suso membuka tirai jaringan buat Milan pada minit ke-37 dan perlawanan itu semakin rancak pada babak kedua dengan Fabio Borini menampan masuk gol kedua pada minit ke-67.

Penyerang Bologna, Mattia Destro membalas satu gol pada minit ke-72 dengan Milan beraksi 15 minit terakhir kurang seorang pemain selepas pemain tengah Lucas Paqueta dibuang padang kerana membantah keputusan pengadil.

Bologna pula mengakhiri perlawanan itu dengan sembilan pemain apabila Nicola Sansone dan Mitchell Dijks dibuang padang.

Drama di tepi padang tercetus pada minit ke-25 apabila pemain tengah Argentina, Lucas Biglia cedera di San Siro dan jurulatih Milan meminta pemain pinjaman dari Chelsea, Bakayoko untuk memanaskan badan.

Bakayoko – di bangku simpanan selepas lewat hadir latihan – tidak bersungguh-sungguh memanaskan badan menyebabkan Gattuso marah dan sebaliknya meminta seorang lagi pemain simpanan Jose Mauri untuk masuk.

Pertelagahan antara Gattuso dan Bakayoko dirakam kamera televisyen.

“Saya tidak mahu memperkatakannya di sini tapi di bilik persalinan, dengan kata-kata saya, yang saya tidak boleh gunakan di televisyen... jumpa saya di sana,” kata Gattuso.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 8:44 AM