CEF Kelvin (kiri) dan Cef Muhammad Firdaus bersama menu istimewa Restoran JT.
CEF Kelvin (kiri) dan Cef Muhammad Firdaus bersama menu istimewa Restoran JT.

Keenakan dan kelazatan rasa chicken chop bersalut telur masin dan tulang kambing masak sos Mongolian bakal memukau serta menepati cita rasa pelanggan yang berkunjung ke Restoran JT di Kelab Heritage Pulau Pinang.

Pengarah Urusannya James Tan yang juga seorang cef mendapat pengiktirafan Global Master Chef berkata, keenakan dua menu istimewa itu menjadi daya penarik kepada pengunjung sama ada menikmatinya sebagai juadah makan tengah hari atau makan malam.

Chicken chop bersalut telur masin sememangnya sesuatu berbeza apabila resipi istimewa diadun dan digoreng dengan sebati bagi membangkitkan rasa kerapuhan isi ayam dibalut telur masin itu.

“Menu istimewa ini sering mendapat pujian pengunjung restoran ini dan menjadi pilihan mereka untuk menjamu selera, apatah lagi harga ditawarkan hanya RM20.90.

“Bagi penggemar daging kambing pula, tulang kambing sos Mongolian antara makanan Barat yang mendapat sambutan ramai kerana daging kambing diperap dan dibakar secara sekata.

“Lebih menarik, ia dihidangkan bersama nasi goreng selain pelanggan boleh memilih sama ada mahu menjamahnya bersama sos Mongolian, lada hitam, krim atau sos oriental dan harga yang ditawarkan cuma RM50,” katanya.

Tan berkata, selain dua menu istimewa itu, menu lain yang ditawarkan termasuk masakan Cina seperti mee hor fun goreng udang, daging lembu masak cabai kering serta hidangan pencuci mulut, ais krim goreng laici turut mendapat sambutan.

Ada lebih 50 menu yang ditawarkan termasuk sajian ala Barat, Melayu, Cina, Jepun dan Itali manakala restoran berkenaan dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 10 malam setiap hari.

“Pengunjung tidak perlu bimbang atau ragu-ragu kerana restoran ini menyediakan hidangan 100 peratus halal dan memiliki sijil perakuan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Saya menggunakan sepenuhnya pengalaman dalam bidang masakan lebih 30 tahun selain pernah bekerja di hotel bertaraf antarabangsa di Singapura untuk menampilkan pel­bagai kelainan dari segi resipi dan menu masakan,” katanya.

Harga makanan juga berpatutan bermula daripada RM10 hingga RM70 dan pihaknya turut menawarkan perkhidmatan katering dengan pelbagai konsep pilihan pelanggan. Layari www.facebook.com/JT Restaurant untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 4:54 AM