NAJIB bersama Adenan (kiri) hadir di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Eastwood Valley Resort Miri. FOTO Nafim Bokhari
NAJIB bersama Adenan (kiri) hadir di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Eastwood Valley Resort Miri. FOTO Nafim Bokhari
Shamran Sarahan


Miri: Rakyat Sarawak digesa supaya menolak politik kebencian yang cuba dibawa pembangkang khususnya DAP menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, secara jelasnya apa yang berlaku dalam masyarakat sehingga perpecahan di negara ini berpunca daripada politik kebencian yang disemai DAP.

Menurut beliau, baru-baru ini Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen membuat dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menaikkan kadar Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST)sebanyak 10 peratus sekiranya BN menang pada PRN-11 nanti.

"Saya nak nyatakan ini satu pembohongan besar, kerajaan tidak pernah sesekali cuba untuk menaikkan kadar GST, bukan saja di Sarawak tetapi di seluruh Malaysia. Usah kata 10 peratus, bahkan satu peratus sekalipun ia tidak akan berlaku.

"Kita akan kekal GST pada kadar sedia ada. Ini komitmen kerajaan dan saya jamin perkara ini sebagai Menteri Kewangan, pada belanjawan akan datang kita tidak akan naikkan GST walaupun ekonomi negara terjejas akibat kejatuhan harga minyak global.

"Pembangkang sengaja mengheret rakyat di negeri ini dengan politik kebencian mereka bagi mewujudkan 'political fear' atau ketakutan politik dalam kalangan masyarakat," katanya ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, beliau diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang turut ditemani isteri, Puan Sri Jamilah Anu dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 10:20 PM