PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem (kanan) mengadakan sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Kabinet Persekutuan di Wisma Bapa Malaysia. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Shamran Sarahan

Petra Jaya: Perdana Menteri menafikan tuduhan pembangkang yang mendakwa kerajaan akan menaikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), 7 Mei ini.

Datuk Seri Najib Razak berkata, dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia di sini, sebentar tadi, jemaah menteri membidas tuduhan pembangkang itu dan menganggap ia sebagai satu pembohongan.

"Jemaah menteri menolak dakwaan pembangkang yang mengatakan sekiranya BNmenang pada PRN-11 ini, kadar GST akan dinaikkan dan saya sebagai Menteri Kewangan serta jemaah menteri sebelum ini sama sekali tidak pernah membincangkan perkara itu.

"Semua ini taktik pembangkang yang sengaja menimbulkan kemarahan rakyat dan saya berharap rakyat Sarawak tidak tertipu dengan rekaan pembangkang ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, sebentar tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Najib berkata, beliau bersama kerajaan BN akan memantau semua janji kepada rakyat Sarawak dan akan pastikan ia dilaksanakan selepas PRN-11 ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 1:50 PM