Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sarawak berbeza dengan Semenanjung berdasarkan masyarakat di negeri itu lebih mengutamakan isu tempatan berbanding nasional menyebabkan sesetengah parti sukar mencari pengaruh di negeri berkenaan.

Penganalisis politik Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata, parti baru ditubuhkan seperti Parti Amanah Negara (PAN) mengumumkan untuk meletakkan calon dalam PRN kali ini perlu berfikir mendalam mengenai peluang mereka di Sarawak

“Saya tidak nampak peluang parti baru seperti PAN untuk mendapat tempat di Sarawak kerana di Semenanjung pun penerimaannya tidak dapat dijangka.

“Ia berbeza dengan DAP yang mendapat tempat di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak sebelum ini kerana mereka sudah ada pengaruh di sesetengah tempat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya berkata, parti pembangkang lain seperti PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga tidak mempunyai masalah untuk meletakkan calon di Sarawak, namun bagi mendapatkan kemenangan ia bukan perkara mudah.

Katanya, PRN Sarawak unik kerana faktor yang menentukan kemenangan seseorang calon berbeza dengan Semenanjung dan formula yang digunakan juga perlu berlainan.

PRN Sarawak yang dijangka diadakan pada Mac atau April ini akan menjadi ujian pertama buat Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang kini menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Susulan persempadanan semula bahagian pilihan raya negeri menyaksikan jumlah kerusi DUN Sarawak bertambah kepada 82 berbanding 71 sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 9:06 AM