Keadaan padang Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Syed Alwi yang terbakar semalam. FOTO Eizairi Shamsudin
Keadaan padang Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Syed Alwi yang terbakar semalam. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Kangar: Hampir keseluruhan padang di Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Syed Alwi, di sini, terbakar tengah hari semalam dipercayai akibat puntung rokok dan cuaca panas menyebabkan api merebak.

Sumber sekolah berkata kejadian berlaku 12.30 tengah hari ketika guru di sekolah itu sedang bermesyuarat di bilik guru untuk mengadakan pelbagai rancangan ko-kurikulum sepanjang tahun ini.

"Tiba-tiba seorang guru yang sedang melalui jalan berhampiran padang sekolah itu bergegas memasuki bilik bermesyuarat dan memberitahu guru lain mengenai api yang sedang marak di padang," katanya.

Guru kemudian menghubungi bomba sementara 30 orang guru, murid dan ibu bapa yang tinggal di sekitar kawasan sekolah itu pula bertungkus lumus memadamkan kebakaran menggunakan peralatan seperti alat pemadam api dan air sementara menantikan ketibaan bomba.

"Kebakaran menyebabkan 95 peratus permukaan padang itu menjadi hitam serta jaring sebuah pintu gol bola sepak turut hangus dijilat api namun beberapa peralatan seperti busur dan papan memanah yang berada di padang itu berjaya dialihkan," katanya.

Menurutnya, akibat kebakaran itu menyebabkan empat acara sukan yang dirancang oleh sekolah dan pihak pendidikan negeri di sekolah itu terpaksa ditunda untuk mencari padang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 3:00 PM