Antara pengikut kumpulan Milah Abraham yang didakwa di mahkamah baru-baru ini. - Foto Fail
Antara pengikut kumpulan Milah Abraham yang didakwa di mahkamah baru-baru ini. - Foto Fail
BERNAMA

Kangar: Kumpulan ajaran sesat Millah Abraham dikesan telah membeli banyak tanah untuk dijadikan markas operasi mereka, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Bukit Aman Datuk Awaludin Jadid hari ini.

Menurutnya, pembelian tanah itu antaranya di Tuaran, Sabah dan Simunjan, Sarawak bagi menubuhkan pemerintahan Islam atau Daulah Islamiah di rantau ini.

"Hasil maklumat dan dokumen yang dirampas, kita dapati kumpulan ini menyusun kabinetnya termasuk mempunyai 13 gabenor di setiap daerah dengan Malaysia yang terakhir.

"Tanah di Sabah itu adalah 'promised land' (tanah yang dijanjikan) ketua mereka," kata Awaludin selepas memberi penerangan pada Seminar Khas Isu Ancaman Keselamatan Negara di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini.

Komuniti ajaran ini diketuai seorang pemerintah bernama Ahmad Musadiq berasal dari Indonesia.

Awaludin berkata, pembersihan tanah di Simunjan bagaimanapun terhenti apabila traktor yang digunakan terjatuh ke dalam sungai baru-baru ini dan kedudukan strategik Simunjan serta Tuaran memudahkan pergerakan ke Kalimantan timur dan utara.

Daulah Islamiah Millah Abraham membabitkan sebahagian Kalimantan, Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia dan Indonesia.

Awaludin berkata polis membantu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyiasat 80 orang pengikut kumpulan itu yang ditahan.

Katanya, kumpulan Millah Abraham bagaimanapun tidak terbabit dengan keganasan dan pemerdagangan manusia.

Aliran itu dikatakan sesat kerana menganggap orang lain yang belum dibaiā€™at kafir. Dalam ajarannya, mereka hanya melakukan solat malam, tanpa solat lima waktu.

Pada dasarnya mereka mengaku pengikut Nabi Ibrahim, mencampuradukkan Islam, Kristian, dan Yahudi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 7:56 PM