Mohd Mizan
Mohd Mizan
Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Millah Abraham, seperti mana kumpulan militan lain di rantau ini dipercayai mempunyai kaitan dengan Daish berdasarkan corak doktrin yang diterapkan kepada pengikut iaitu pada akhirnya menubuhkan negara berkonsepkan daulah Islamiah.

Menyasarkan kutipan dana untuk membiayai operasi, mereka juga mempunyai perancangan strategik untuk meluaskan pengaruh dan kekuatan sendiri, menjadikan Daish sebagai sumber inspirasi perjuangan, mengambil alumni Daish di Afghanistan sebagai simbol jihad serta menyusun latihan fizikal untuk menentang sesiapa yang disifatkan sebagai musuh.

Pakar Strategis dan Anti Keganasan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPS) Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, berdasarkan kajiannya, semua lima elemen terbabit turut didukung Millah Abraham yang merancang membuka kawasan baru di Kalimantan termasuk Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan baru.

Katanya, secara operasinya, ajaran sesat terbabit turut mengumpulkan dana daripada pengikut atas nama infak, sedekah dan sumbangan, sama seperti yang dilakukan beberapa kumpulan pengganas seperti Abu Sayyaf di Filipina dan Jemaah Islamiah (JI) yang berpusat di Indonesia.

“Kedua, kajian mendapati kumpulan ini masing-masing mencari pengaruh dan kekuatan untuk menambah pengikut dan melancarkan perang ke atas sesiapa saja yang dianggap musuh. Sama seperti Ahmad Musaddiq yang kita ketahui pernah memimpin beberapa pertubuhan termasuk Gerakan Fajar Nusantara (GRAFATAR) dan sekarang ingin membentuk Negeri Karunia Tuan Semesta Alam Nusantara (NKTN),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 9:56 AM