DARI kiri, Abdul Rahman, Rusli, Che Min, Nabila dan Awaludin menunjukkan anugerah yang diterima pada sambutan Maal Hijrah 2017 peringkat Wilayah Persekutuan, semalam.
DARI kiri, Abdul Rahman, Rusli, Che Min, Nabila dan Awaludin menunjukkan anugerah yang diterima pada sambutan Maal Hijrah 2017 peringkat Wilayah Persekutuan, semalam.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Cabaran membanteras kumpulan ajaran sesat seperti Al-Arqam, ajaran Crypto, Al-Maunah, Jemaah Islamiah (JI) dan Millah Abraham melayakkan individu ini menerima Anugerah Khas Maal Hijrah 2017 peringkat Wilayah Persekutuan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Awaludin Jadid mengakui pelbagai suka duka dilalui sepanjang bergelar pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ini satu penghormatan kepada saya dan keluarga serta khusus kepada Bahagian Cawangan Khas PDRM kerana jarang polis seperti kami menerima pengiktirafan tertinggi.

“Saya akui pelbagai cabaran dilalui untuk membanteras kumpulan ajaran sesat dan pelampau agama, namun kami bekerjasama baik dengan semua jabatan agama negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menahan mereka.

“Sekarang, kami sedang fokus untuk membanteras kumpulan Syiah yang dilihat semakin ketara mengembangkan dakyah mereka di semua negeri,” katanya selepas ditemui pada Sambutan Maal Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan di Kompleks Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.

Awaludin, 59, yang juga graduan jurusan perundangan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaya turut bertanggungjawab secara langsung dalam siasatan dan pendakwaan pengganas Sulu di Sabah sebelum ini.

Selain Awaludin, tiga lagi yang menerima pengiktirafan sama adalah mantan Timbalan Pengarah Operasi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Kolonel (B) Rusli Kadir, 65, yang banyak menghantar bahan bacaan agama termasuk al-Quran dan kitab lama kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kemboja manakala bekas guru besar, Abdul Rahman Lamudin, 75, yang banyak berkecimpung dengan aktiviti masyarakat serta komuniti.

Pengerusi Eksekutif Koperasi Permodalan Mualaf Berhad, Nabila Shila Lama Abdullah, 50, turut diberi pengiktirafan sama dalam majlis itu berikutan sumbangannya dalam misi kemanusiaan, sukarelawan dan kerja dakwah terutama membabitkan golongan mualaf.

Sementara itu, Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan Tahun 1439H atas jasanya dalam memartabatkan institusi agama Islam di negara ini diberi kepada mantan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Kelantan Datuk Che Min Che Ahmad.

Che Min, 69, yang juga bekas Pengarah JAWI berkata, anugerah itu sebagai satu penghargaan buatnya yang terbabit sebagai penjawat awam selama 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 4:52 AM