Aizat Sharif

Kangar: “Tiada tempat bagi Ajaran Millah Abraham di negara ini,” tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika diminta mengulas mengenai penularan ajaran sesat itu di sekitar sempadan Malaysia-Indonesia di Sabah dan Sarawak yang didakwa semakin berkembang.

Menurutnya, pihaknya memohon Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) mengharamkan kumpulan ajaran sesat Millah Abraham dan beberapa negeri melakukannya kerana kumpulan itu memberi ancaman kepada keselamatan negara.

“Kita tidak berkompromi dengan mana-mana kumpulan ajaran sesat termasuk Millah Abraham yang cuba dibawa masuk ke dalam negara ini untuk mengancam ketenteraman awam.

“Kita mempunyai cukup undang-undang untuk membuat tindakan kepada kumpulan ini dan difahamkan bukan hanya Millah Abraham saja dalam perhatian polis, malah beberapa kumpulan ajaran sesat dari agama lain seperti Buddha dan Hindu juga dipantau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Perbincangan Meja Bulat dan Bengkel Jenayah dan Permasalahan Sempadan di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perlis di sini, semalam.

Pembongkaran ajaran sesat Millah Abraham dilakukan Harian Metro sejak 2014 menerusi muzakarah dilakukan Persatuan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) bersama beberapa orang kanan ajaran itu.

Kemuncaknya apabila Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Bukit Aman Datuk Awaludin Jadid mengatakan kumpulan Millah Abraham disifatkan ancaman terbaru yang berkembang dari segi jumlah pengikutnya.

Penularan ajaran sesat Millah Abraham mampu menjadikan kumpulan itu berkembang seperti militan Daish jika tidak dibendung dari awal.

Malah, kumpulan itu berusaha mempunyai milikan hartanah yang banyak sebagai usaha mewujudkan sebuah ‘tanah harapan’ atau ‘promise land’ di sempadan Malaysia-Indonesia di Simunjan, Sarawak dan Tuaran, Sabah.

Polis mengenal pasti beberapa pengikut ajaran sesat Millah Abraham yang bersembunyi dan menetap di Sarawak dan Sabah selepas menjadi buruan pihak berkuasa di Semenanjung.

Pada majlis itu, Khalid menyampaikan ucapan mengenai keselamatan sempadan selepas penemuan kubur besar etnik Rohingya di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:15 AM