Buaya yang dipelihara tanpa lesen di Sungai Periuk, Bau, Sarawak. - Foto IHSAN SFC
Buaya yang dipelihara tanpa lesen di Sungai Periuk, Bau, Sarawak. - Foto IHSAN SFC
BERNAMA

Bau: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membongkar kegiatan sebuah ladang babi di Jalan Sungai Pinang di sini, menternak 16 buaya pelbagai saiz tanpa lesen dalam serbuan semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion ke-11 PGA Superintendan Soh Hock Seng berkata dalam serbuan 3 petang itu, operasi diketuai Asisten Superintendan Mohd Mazlan Mohd Ariff bersama tiga anggota, turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun.

Menurutnya operasi bersama seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dua pegawai Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) itu adalah tangkapan pertama PGA Batalion 11 membabitkan buaya tahun ini.

"Hasil maklumat awam, anggota telah melakukan risikan selama seminggu sebelum pasukan Batalion 11 PGA, SPRM dan SFC membuat serbuan ke lokasi dan merampas 16 buaya bersaiz antara 12 dan 20 kaki.

"Siasatan awal mendapati pusat penternakan babi itu tiada lesen untuk memiliki dan membela reptilia berkenaan. Pemilik melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Bab 26 Sek 29 (2)," katanya di sini, hari ini.

Soh berkata, berkata mendapati buaya air masin dan ganas itu diternak untuk melupuskan bangkai babi yang mati di ladang berkenaan yang dianggar 3,000 ekor.

“Cara melupuskan bangkai babi dengan memberikan kepada buaya dapat menjimatkan masa tanpa perlu ditanam.

"Bagaimanapun tindakan pemilik ini membela buaya di kawasan ini amat berisiko kerana ada beberapa kampung berhampiran, juga dikhuatiri jika berlaku banjir buaya ini boleh terlepas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 8:31 PM