HTIN Kyaw (kiri) menghadiri sesi Parlimen, semalam.
HTIN Kyaw (kiri) menghadiri sesi Parlimen, semalam.
Agensi

Naypyidaw : Bakal presiden Myanmar, Htin Kyaw semalam mengumumkan perancangan mewujudkan kementerian hal ehwal etnik dalam usaha menangani konflik di negara itu, terutama di kawasan sempadan yang berpenduduk berbangsa minoriti.

“Kementerian itu penting untuk masa depan Myanmar yang memerlukan keamanan, pembangunan dan kelestarian,” katanya.

Htin Kyaw mengambil alih pemerintahan negara itu dalam pada Myanmar melalui transformasi dramatik selepas berdekad diperintah junta tentera.

Konflik masih wujud antara kumpulan minoriti etnik yang bersenjata dengan 240,000 hilang tempat tinggal termasuk di Kachin dan Rakhine - tempat puluhan ribu Muslim Rohingya hidup tertindas.

Sementara itu, Parlimen baru Myanmar semalam bersetuju mengurangkan jumlah jabatan kerajaan, dengan Htin Kyaw menegaskan tiada penjawat awam akan kehilangan pekerjaan, selain dapat menjimatkan $4 juta (RM16 juta) dengan menyingkirkan 15 menteri.

Undian yang dibuat dalam satu sesi bersama Parlimen itu tindakan perundangan pertama Parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) diketuai Aung San Suu Kyi yang berkuasa selepas berjuang beberapa dekad untuk demokrasi, susulan kemenangan bersejarah dalam pilihan raya umum pada 8 November lalu.

Dalam ucapan pertamanya itu, Htin Kyaw yang secara rasminya menyandang jawatan presiden pada 1 April ini berkata, buat masa ini terlalu banyak kementerian yang secara tidak langsung menyebabkan penindihan tugasan dan bidang kuasa.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya bercadang untuk menggabungkan beberapa kementerian supaya dikurangkan daripada 36 kepada 21.

“Saya tiada niat mengurangkan jumlah penjawat awam. Dengan mengurangkan jabatan kerajaan, sekali gus kita dapat menurunkan perbelanjaan yang tidak penting dan menghapuskan gaji menteri,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan dapat menjimatkan 5 bilion kyat (RM17 juta) sepanjang tempoh lima tahun ini yang akan digunakan untuk pendidikan serta perkara lain yang lebih penting.

Myanmar diperintah junta tentera sejak 1962 dan kerajaan awam yang disokong tentera dari 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 8:22 AM