SEORANG pekerja membersihkan potret Suu Kyi di ibu pejabat NLD di Yangon, semalam.
SEORANG pekerja membersihkan potret Suu Kyi di ibu pejabat NLD di Yangon, semalam.
AFP

Yangon: Pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi semalam menggesa masyarakat antarabangsa membantu memastikan pilihan raya umum bersejarah Myanmar pada November ini membawa perubahan tulen dalam politik dan kerajaan negara itu.

Suu Kyi membuat gesaan itu dalam satu rakaman video sempena kempen pilihan raya umum Myanmar yang secara rasmi bermula semalam.

Beliau juga memuji pilihan raya pada 8 November ini yang dianggapnya sebagai titik perubahan untuk Myanmar yang kini diperintah kerajaan separuh awam selepas pengaruh junta tentera merosot pada 2011.

“Untuk kali pertama rakyat Myanmar mempunyai peluang sebenar untuk membawa perubahan sebenar.

“Ini adalah peluang yang kita tidak mampu lepaskan,” katanya dalam rakaman video yang siarkan partinya, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD).

Walaupun pilihan raya itu disambut baik banyak pihak tetapi ia dicemari dengan kebimbangan mengenai kesilapan daftar pengundi, sekatan ketika berkempen dan penafian hak mengundi kepada puluhan ribu etnik minoriti Islam.

Namun, apa pun keputusan pilihan raya itu nanti, tentera masih tetap menguasai suku kerusi di Parlimen.

Kira-kira 30 juta pengundi akan memilih wakil mereka ke Parlimen dan Dewan di Parlimen akan bergabung bagi memilih Presiden baru negara itu.

Suu Kyi tidak layak untuk menjawat jawatan tertinggi kerana perlembagaan yang digubal junta tentera menghalang sesiapa yang mempunyai pasangan atau anak bukan warga Myanmar menjadi presiden.

Peruntukan perlembagaan itu dilihat oleh banyak pihak sebagai cara menghalang Suu Kyi menjadi presiden.

Mendiang suami pemenang Anugerah Nobel Keamanan berkenaan adalah warga Britain dan dia mempunyai dua anak yang juga warga Britain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 6:56 AM