SANDRA elak ulas lanjut mengenai perkara membuatkan hatinya terluka.
SANDRA elak ulas lanjut mengenai perkara membuatkan hatinya terluka.
Rudy Imran Shamsudin


Seorang penyanyi perlu menyampaikan perasaan dalam melodi dan lirik lagu dengan tepat walaupun mereka tidak pernah merasai apa yang cuba dikongsi dengan pendengar.

Gembira bertemu dengan si dia atau sedih ditinggalkan orang yang dicintai, perasaan itu harus turut dirasai pendengar apabila lagu mengenainya didendangkan.

Itulah cabaran yang dilalui Sandra, 23, apabila menyanyikan Aku dan Kekasih yang menjadi single ketiganya.

Sandra atau Alessandra Dianne Ampuria akui tema kali ini agak berat berbanding single pertamanya, Hey Kau! yang menjadi hit dan diminati ramai.

Bagaimanapun, katanya, dia mampu menghayati lagu itu kerana baru saja melalui dugaan dalam hidupnya.

“Jujur, saya pernah mengalami dan merasai perasaan dikecewakan sehingga membuatkan hati luluh dan fikiran menjadi separuh waras. Perkara itu baru saja menimpa saya,” katanya.

Sandra bagaimanapun mengelak untuk mengulas lebih lanjut mengenai perkara yang benar-benar membuatkan hatinya terluka itu.

“Saya tidak mahu bercerita panjang mengenainya kerana ia akan membuatkan rasa sedih. Biarlah perkara yang berlaku itu berlalu dan menjadi sejarah hidup saya,” katanya.

Bagamanapun, kata Sandra, melihat pada sudut positif kekecewaan ditinggalkan orang disayangi itu ada hikmahnya apabila perasaan kecewa yang ada dapat disalurkan sewaktu menjayakan rakaman lagu Aku Dan Kekasih.

Sebaik video lirik Aku Dan Kekasih dimuat naik ke laman YouTube, ramai terkejut apabila melihat penampilan Sandra yang digambarkan seperti zombi.

Ramai peminat keliru mengapa Sandra perlu berpenampilan seperti hantu sedangkan sebagai penyanyi mereka akan tampil cantik dengan solekan sempurna apabila menghasilkan video lirik lagu mahupun video muzik.

Menjelaskan perkara itu, kata Sandra pihak penerbitan dan syarikat rakaman mahu menggambarkan dirinya dalam situasi tidak sihat disebabkan masalah tekanan jiwa selepas kecewa cinta.

“Ada jalan cerita sebenarnya di sebalik penampilan dan imej saya dalam lirik video Aku dan Kekasih, tetapi sebab ia bukan video muzik jadi cerita yang hendak disampaikan itu belum ada. Ia ibaratnya sebagai pengenalan watak.

“Saya tahu ramai peminat yang keliru apabila melihat video lirik terbabit. Tapi apabila video muziknya yang lengkap ditayangkan nanti, pasti semua orang akan faham akan maksud lagu itu dan watak yang saya lakonkan itu nanti,” katanya.

Popular sejenak

Tidak dinafikan sebaik muncul dengan single Hey Kau, populariti menyebelahi Sandra apabila lagu ciptaan Tam Spider itu berjaya melonjakkan namanya dalam industri muzik tempatan.

Kegilaan peminat terhadap Hey Kau membolehkan penyanyi muda berasal dari Tuaran, Sabah ini menerima anugerah Red Box, 10 lagu paling popular sepanjang 2016.

Bagaimanapun, populariti diraih Hey Kau tidak bertahan lama apabila sambutan diberikan peminat terhadap single kedua, Aku Tak Percaya Cinta agak kurang.

Begitu juga dengan single terbaru ini. Mengubah konsep lagu kepada balada juga membuatkan peminat agak kurang menerima perubahan yang cuba dilakukan.

Melihat perkembangan itu, Sandra akui agak risau apabila memikirkannya tetapi apa yang penting buat dirinya setiap tahun dia pasti akan muncul dengan lagu baru.

“Saya tidak mahu berputus asa walaupun melihat sambutan terhadap dua single saya agak perlahan berbanding Hey Kau. Ia tidak akan membuatkan saya patah semangat.

“Apa yang pasti, selagi syarikat rakaman yakin dengan kemampuan dan bakat, saya akan tetap mahu menghasilkan satu single setiap tahun. Saya perlu memikirkan peminat setia yang menantikan karya terbaru saya,” katanya.

Sebagai penyanyi, kata Sandra, dia bergantung penuh kepada kuasa pendengar yang menentukan lagu apa mereka mahu dengar.

“Mungkin dua lagi lagu yang saya hasilkan itu kurang menepati cita rasa pendengar. Sebagai pengkarya, saya selalu melihat dan mengkaji perkembangan industri muzik.

“Kita tidak tahu kemungkinan yang bakal saya persembahkan ini akan diterima baik oleh mereka. Oleh itu sebagai penyanyi dan pemuzik, saya selalu percaya kita tidak boleh berputus asa hanya kerana lagu yang dihasilkan dan didendangkan tidak mendapat sambutan,” katanya.

Kata Sandra, sebagai penyanyi, orang tidak boleh membandingkan lagu terbaru yang dihasilkan dengan karya sulungnya Hey Kau kerana lagu itu sudah menjadi penanda aras.

“Memang lagu itu popular dan diminati ramai tetapi sebagai penyanyi, saya tidak boleh bergantung kepada lagu yang sama.

“Sudah tentu perlu ada perubahan bagi menunjukkan kematangan seseorang penyanyi dalam kerjaya seninya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 10:07 AM