D'AMBROSIO (dua kiri) bawa Inter himpit Milan. - Foto EPA
D'AMBROSIO (dua kiri) bawa Inter himpit Milan. - Foto EPA
AFP

MILAN: Danilo D’Ambrosio menyumbat gol lewat ketika Inter Milan menang tipis 1-0 ke atas Genoa dalam aksi Serie A awal pagi tadi sekali gus terus menghampiri pendahulu ketika AC Milan tumbang 0-2 di Sampdoria.

D’Ambrosio menanduk masuk susulan sepakan sudut dua minit sebelum tamat di San Siro untuk meraih tiga mata buat pasukan kendalian Luciano Spalletti, yang menyaksikan rentetan kemenangan mereka berakhir apabila seri 1-1 di Bologna pertengahan minggu lalu.

Pemain Genoa, Adel Taarabt dan Stephane Omeonga dibuang padang pada masa kecederaan ketika kelab dari Liguria itu tidak menang dalam enam perlawanan pertama mereka.

TAARABT (kiri) dibuang padang pada masa kecederaan. - Foto REUTERS
TAARABT (kiri) dibuang padang pada masa kecederaan. - Foto REUTERS

Inter kekal di tangga ketiga, dua mata di belakang pendahulu Juventus dan Napoli, kedua-duanya menang semua enam perlawanan pertama mereka Sabtu lalu masing-masing ke atas Torino (4-0) dan SPAL (3-2).

“Ia perlawanan yang sukar, tapi kami tetap mantap,” ujar Spalletti. ” Kami mesti mencipta mentaliti menang ini yang membuatkan kami percaya mampu menewaskan sesiapa.

“Ada jurang dengan Napoli dan Juventus tapi ia sesuatu yang dijangka, mengambil kira dari mana kami hadir. Sukar untuk mencipta mentaliti menang selepas kempen buruk.

“Napoli dan Juventus mempunyai mentaliti itu, begitu juga AS Roma dan Lazio. Kami juga tidak boleh memandang remeh Sampdoria dan Torino, dua lagi pasukan kuat.”

Duvan Zapata dan Ricky Alvarez meledak gol ketika Sampdoria mencetus kekalahan kedua kelab berbelanja besar AC Milan musim ini.

Zapata memecah kebuntuan selepas kesilapan sepupunya dan rakan senegara dari Colombia, Cristian Zapata mengeluarkan bola pada minit ke-72 manakala pemain gantian Alvarez meraih gol kedua sebelum wisel penamat.

“Kami perlu mengenal pasti kenapa beberapa perkara tidak menjadi, saya saksikan terlalu banyak persembahan di bawah tahap sebenar,” kata jurulatih Milan, Vincenzo Montella.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 9:53 AM