ARRUDA (tengah) belum pamer aksi terbaik.
ARRUDA (tengah) belum pamer aksi terbaik.
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Jurulatih Kuala Lumpur Ismail Zakaria mengakui pertembungan dengan UiTM FC dalam aksi Liga Perdana hari ini bakal menghadirkan ujian besar anak buahnya kerana terpaksa turun di Stadium UiTM Shah Alam pada sebelah petang buat kali pertama.

Selepas mengharungi empat perlawanan tanpa kalah, Kuala Lumpur berdepan lebih tekanan bagi mempertahankan rekod sekali gus memastikan terus unggul di tangga teratas liga.

“Saya menjangkakan perlawanan itu sukar kerana kami tidak pernah beraksi sebelah petang setakat ini. Berikutan cuaca panas ketika ini, saya tidak tahu sama ada pemain mampu bertahan.

“Saya berharap pemain mempamerkan kekuatan mental yang baik serta tidak memandang rendah keupayaan UiTM kerana pada saya mereka bukan pasukan bertaraf universiti kerana mampu mengalahkan pasukan dan kelab profesional sebelum ini,” katanya kepada Arena Metro.

Hasil tiga kemenangan dan satu seri, skuad The Hawks kini mengumpul 10 mata namun kedudukan itu tidak selamat kerana boleh dipintas DRB-Hicom dan Melaka United yang kini hanya satu dan dua mata di belakang.

Menurut Ismail, beliau masih belum berpuas hati dengan prestasi pemain khususnya penyerang import Brazil Anselmo Arruda da Silva atau dikenali sebagai Casagrande yang masih belum menyerlah.

“UiTM bukan mudah ditewaskan kerana mereka memiliki pemain muda yang rajin dan bertenaga. Saya harap pemain tidak mensia-siakan peluang jika mahu menang.

“Saya sudah memberi kata dua kepada penyerang import (Casagrande) supaya meningkatkan tahap permainannya. Jika tidak, saya terpaksa melakukan sesuatu (menggantikan dengan pemain lain),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 9:13 AM