POLIS Israel memeriksa seorang remaja Palestin di Baitulmaqdis, semalam.
POLIS Israel memeriksa seorang remaja Palestin di Baitulmaqdis, semalam.
Agensi

Ramallah: Kumpulan pelampau Yahudi bertindak lebih kurang ajar apabila mula melakukan upacara perkahwinan di Al Haram Al Sharif, kompleks yang menempatkan Masjid Al-Aqsa dan Kubah Emas.

Pergerakan Fatah memberi amaran, tindakan pelampau Yahudi itu akan meningkatkan lagi ketegangan dan memburukkan lagi keadaan.

Tindakan pelampau Yahudi itu adalah taktik baru untuk mencetuskan kemarahan Muslim.

Bagi penduduk Islam di wilayah yang dijajah Israel, melangsungkan perkahwinan di kompleks itu adalah perkara biasa dan mereka hanya boleh berbuat demikian selepas memperoleh kebenaran yang diperlukan.

“Perbuatan pelampau Yahudi untuk melangsungkan perkahwinan di kompleks ini adalah fenomena berbahaya yang mencabar kesabaran penduduk Islam di Baitulmaqdis,” kata jurucakap Fatah daerah itu, Rafat Aliyan.

Dia berkata demikian selepas seorang paderi Yahudi, Pentsi Ghovestien, yang juga ketua sebuah kumpulan pelampau Yahudi memuat naik gambar perkahwinan anak lelakinya, Alyshev di kompleks berkenaan di akaun Twitternya.

“Perkahwinan di dalam Al Haram Al Sharif jelas menunjukkan sikap tidak menghormati persefahaman dan perjanjian rejim Israel. Polis dan tenteranya hanya memandang sebelah mata terhadap pencabulan berkenaan,” katanya.

Sejak Oktober lalu, tentera Israel membunuh lebih 180 penduduk Palestin di kawasan sekitar Tebing Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 10:10 AM