WANITA Palestin duduk berhampiran Masjid Al-Aqsa ketika polis Israel mengiringi penduduk Yahudi melawat pekarangan masjid berkenaan,  semalam.  - EPA
WANITA Palestin duduk berhampiran Masjid Al-Aqsa ketika polis Israel mengiringi penduduk Yahudi melawat pekarangan masjid berkenaan, semalam. - EPA
Agensi

Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel semalam mempertahankan keputusan menarik balik pengesan logam di pintu masuk Haram al-Sharif dengan berkata, ia demi keselamatan.

Rejim Israel memasang pengesan logam dan kamera keselamatan selepas serangan berhampiran tempat suci itu menyebabkan dua anggota polisnya mati 14 Julai lalu.

Tindakan itu mencetuskan bantahan besar-besaran Muslim, khususnya penduduk Palestin hingga mendorong rejim berkenaan memunggah pengesan itu Selasa lalu, bersama dengan kamera yang dipasangnya.

Ia bagaimanapun mengundang kritikan hebat daripada parti pelampau yang diketuainya sendiri.

Kajian yang dilakukan mendapati 77 peratus Yahudi menolak tindakan Netanyahu. Malah akhbar Israel Hayom yang biasanya propemimpin Israel itu turut menyelarnya.

“Saya mendengar suara rakyat. Saya memahami perasaan mereka. Keputusan itu bukan sesuatu yang mudah. Tetapi demi keselamatan, saya terpaksa membuat keputusan,” katanya ketika bercakap pada permulaan mesyuarat Kabinetnya semalam - kenyataannya yang pertama mengenai penarikan balik pengesan logam itu.

Penduduk Palestin dan Muslim seluruh dunia melihat pemasangan pengesan logam dan kamera itu sebagai cara Israel untuk menguasai dan mengyahudikan Haram al-Sharif yang menempatkan Masjid Al-Aqsa.

Muslim enggan memasuki masjid berkenaan dan sebaliknya menunaikan solat di luar selama lebih seminggu selepas Israel memasang pengesan itu.

Tunjuk perasaan dan kekacauan meletus selama beberapa hari sebelum Netanyahu akhirnya tunduk dan menariknya balik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 6:41 AM