TENGKU SUHAILA.
TENGKU SUHAILA.
Syafil Syazwan Jefri


Siapa sangka, bermula sebagai penyanyi latar lagu penyanyi popular, Tengku Suhaila berpeluang merealisasikan impiannya bergelar penyanyi.

Bernaung di bawah label Hikayat Records, Tengku Suhaila berkata bakatnya mula dikesan pengarah muzik, Rudi Muhammad dan menawarkannya peluang keemasan itu.

“Saya pernah menjadi penyanyi latar lagu Mesti Ada Cinta nyanyian Fiq dan Akim. Banyak juga pengalaman saya timba sepanjang bergelar penyanyi latar separuh masa.

“Sebenarnya sudah lama saya ditawarkan menjadi artis rakaman Hikayat Records, tetapi ketika itu saya masih belajar dan muzik hanyalah kerja sampingan,” katanya.

“Apabila lagi ditawarkan sekali lagi, sayang pula untuk lepaskan. Lagipun menyanyi memang minat saya sejak kecil, tak salah jika jadikannya kerjaya serius,” katanya.

Sambung penyanyi berusia 24 tahun ini, syarikat rakaman sedang merangka menghasilkan produk sulungnya.

“Insya-Allah, mereka ada perancangan untuk kembangkan karier saya. Jika tiada aral melintang, mungkin hujung tahun ini saya tampil dengan single pertama.

“Kalau boleh saya mahu bawa pelbagai genre. Sebagai artis baru saya masih mencari muzik sesuai dan jika sudah bertemu yang secocok dengan jiwa, mungkin saya kekal dengan genre itu,” katanya lagi.

Menurut anak kedua daripada lapan beradik ini, dia ingin mengekspresikan jiwa dan minatnya menerusi karya yang diketengahkan.

“Muzik jadi medium saya mengekspresikan diri. Diharap kehadiran saya dapat di terima semua lapisan masyarakat,” kata bakal graduan Ijazah Pengajian Bahasa Inggeris Profesional ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 8:59 AM