NOH. FOTO Syarafiq Abd Samad
NOH. FOTO Syarafiq Abd Samad
Syafil Syazwan Jefri

Sebagai penyanyi, penjagaan kesihatan tentunya penting untuk memastikan persembahan tatkala muncul di pentas berjalan seperti dirancang.

Noh Salleh yang baru-baru ini mengalami masalah batu karang berkongsi pengalamannya sepanjang sebulan menahan kesakitan.

“Pada awalnya, saya tak tahu sakit itu akibat masalah batu karang. Apabila mula rasa sakit dan menjalani pemeriksaan, barulah saya tahu,” katanya.

Menurut Noh, selepas disahkan mengalami batu karang pada November lalu, dia terpaksa membatalkan siri konsert jelajahnya ke Indonesia yang sepatutnya berlangsung pada 13 hingga 20 November lalu.

“Saya terpaksa batalkannya atas nasihat doktor. Jadi, pada 25 November lalu saya selamat menjalani pembedahan untuk membuang batu karang itu.

“Siri konsert jelalah itu saya tunda ke 11 hingga 20 Disember lalu dan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Menurut Noh, pengalaman terpaksa menggunakan tiub sebagai alat bantuan membuang air kecil selama sebulan adalah pengalaman yang tak dapat dilupakan.

“Ketika itu, sakitnya dah berkurangan. Alhamdulillah, Jumaat lalu ia sudah ditanggalkan dan saya cuma perlu makan ubat mengikut jadual,” katanya.

Suami kepada Mizz Nina ini juga mengakui isterinya adalah antara orang yang paling bimbang ketika dia berdepan penyakit itu.

“Dia selalu menegah saya melakukan kerja berat kerana tak mahu berlaku pendarahan atau perkara yang tak diingini. Saya faham perasaannya sebagai isteri yang bimbangkan kesihatan saya,” katanya.

KETIKA dirawat akibat masalah batu karang, baru-baru ini.
KETIKA dirawat akibat masalah batu karang, baru-baru ini.

Noh juga berpesan kepada semua peminatnya supaya sentiasa menjaga kesihatan.

“Ia berlaku kerana saya kerap menahan kencing. Jadi, saya meminta semua peminat supaya menjaga kesihatan kerana kita tak tahu, kadang-kadang benda kecil sebegitu boleh menjadi punca penyakit,” katanya.

Bercerita mengenai kerjaya, selain menyanyi Noh yang juga pemilik Sanjuro Cafe di Kuching berkata, sambutan terhadap kafe itu semakin menggalakkan.

“Ia bukanlah kafe yang dibuka untuk mengaut keuntungan semata-mata, tapi menjadi platform untuk anak seni Sarawak berkongsi idea dan mengekspresikan jiwa seni mereka.

“Bukan hanya memfokuskan muzik, Sanjuro Cafe juga menjadi ruang untuk mereka yang ingin menterjemahkan seni dalam bentuk puisi dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, Noh juga membuka lembaran 2018 menerusi kehadiran empat lagu barunya yang berentak pop retro.

“Sebagai artis, saya tak hanya ingin menghiburkan peminat, tapi pada masa sama ingin mendidik mereka bahawa muzik genre ini masih relevan.

“Walaupun tak ramai yang mendengar, tapi satu pencapaian buat diri saya apabila ramai generasi muda yang mula peka kehadiran dan kewujudan genre yang pernah popular satu ketika dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 2:26 AM