AFP

Miami, AS: Adam Scott (gambar) mencatat dua double bogey sepanjang lima lubang pertama sebelum bangkit membenam enam birdie di sembilan lubang kedua untuk mengumpul 69 pukulan sekali gus menjulang Kejohanan WGC Cadillac.

Bintang Australia berusia 35 tahun itu yang menjadikan Masters 2013 sebagai satu-satunya kejohanan utama yang pernah dimenanginya, menang dua kejohanan berturut-turut selepas turut menjuarai Klasik Honda dua minggu lalu.

Scott yang muncul naib juara kepada Bubba Watson di Riviera tiga minggu lalu, menjulang kejayaan ke-29 yang juga acara Jelajah PGA ke-13 dengan catatan 12 bawah 276 keseluruhan sekali gus mengatasi juara Masters dua kali, Watson dengan kelebihan satu pukulan di lapangan Doral Blue Monster.

Scott berasa seolah-olah terlalu sukar untuk ditewaskan apabila bermain pada tahap terbaiknya.

“Saya rasa begitu setiap kali bermain sejak beberapa minggu lalu dan saya mahu mengekalkan rentak sama untuk tempoh beberapa minggu lagi,” kata Scott.

“Untuk menang dua kali berturut-turut memang hebat. Saya harap ia berterusan.”

Bintang Ireland Utara Rory McIlroy dan pemain England Danny Willett berkongsi kedudukan di tangga ketiga dengan 278 pukulan sambil juara lima kejohanan utama Phil Mickelson di tangga kelima dengan 279 pukulan keseluruhan.

Scott yang dijangka melonjak ke tangga keenam dunia, terpaksa berhempas-pulas untuk menguasai putter baharunya selepas putter panjang yang digunakannya selama ini, tidak lagi dibenarkan untuk digunakan.

Namun, Scott dilihat sudah berjaya mengatasi rasa tidak selesanya dengan peralatan baru berkenaan dan bangkit daripada catatan buruk sebelum menang dua minggu lalu dan dua double bogey di lubang tiga serta lima yang dilakukannya semalam tidak langsung menjejaskan prestasinya.

“Saya menggunakan sepenuhnya pengalaman untuk mencipta kelebihan sejak dua minggu lalu,” kata Scott. “Memang anda tidak mahu catatan buruk dalam permainan tapi anda perlu mencari peluang untuk memperbaiki catatan. Saya mampu mengatasi kesilapan saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 7:17 AM