ADEL
ADEL
Reuters

Paris: Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir semalam berkata, Presiden Syria Bashar al-Assad mesti meletakkan jawatan pada awal proses peralihan politik, bukan hujungnya.

“Pada kami, jelas bahawa permulaan proses itu yang penting, bukan pada akhirnya. Ia bukan proses yang hanya memakan masa sesingkat 18 bulan,” katanya.

Kenyataannya itu hanya beberapa hari sebelum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merancang menyambung rundingan damai dalam usaha menamatkan perang saudara selama lima tahun di Syria.

Amerika Syarikat (AS) dan negara Barat lain yang sebelum ini menggesa peletakan jawatan Bashar tidak lagi menyentuh isu itu susulan kedudukannya diperkukuh penyertaan tentera Russia dalam pertempuran sejak September lalu.

Adel berkata, Arab Saudi akan menerima penghantaran senjata Perancis yang pada awalnya dibeli untuk Lubnan.

Februari lalu, Arab Saudi menggantung pakej bantuan AS$3 bilion (RM12.1 bilion) untuk tentera Lubnan sebagai membalas kegagalan Beirut mengkritik serangan terhadap misi diplomatiknya di Iran.

Sehubungan itu, Adel berkata senjata itu akan digunakan tentera Arab Saudi sendiri.

Sementara itu, Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) melaporkan 135 terbunuh dalam minggu pertama gencatan senjata di Syria di kawasan yang termasuk dalam perjanjian berkenaan.

Seramai 552 pula terbunuh di kawasan yang tidak dirangkumi dalam gencatan senjata berkenaan, yang berkuat kuasa pada 27 Februari lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 5:03 AM