ANGGOTA bomba membawa naik mayat mangsa. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membawa naik mayat mangsa. FOTO ihsan Bomba
Balkiss Jazimah Zahari


Ipoh: Remaja lelaki ditemui lemas di kawasan lombong berhampiran Taman Tiara Pasir Puteh dekat sini, kira-kira 3 petang tadi.

Mangsa Ryan Low Kin Hang, 14, dikatakan pergi ke lombong berkenaan untuk memancing ikan bersama beberapa rakannya.

Jurucakap jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri berkata, selesai memancing mangsa dikatakan mencuci kaki di kawasan tebing lombong berkenaan sebelum terjatuh lalu lemas ke dalam kawasan sedalam lebih enam meter itu.

Katanya, anggota bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.04 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan bagi menjalankan operasi menyelamat.

"Mangsa dijumpai pasukan penyelamat pada 4.48 petang.

"Mangsa dipercayai jatuh kira-kira empat meter dari tebing lombong berkenaan," katanya.

Menurutnya sebaik sahaja dijumpai mayat mangsa dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 10:59 PM