SEROJ yang dikhuatiri lemas selepas dikatakan berenang di tasik dalam keadaan mabuk. FOTO ihsan JPBM Perak
SEROJ yang dikhuatiri lemas selepas dikatakan berenang di tasik dalam keadaan mabuk. FOTO ihsan JPBM Perak
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kampar: Lelaki warga Nepal yang dikhuatiri lemas selepas berenang di tasik dalam keadaan mabuk dalam kejadian berdekatan sebuah pasar raya di Gopeng, di sini, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mayat Seroj Senoli, 26, dijumpai pasukan penyelam kira-kira jam 9.45 pagi tadi kira-kira 15 meter dari lokasi mangsa terjun.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada saksi yang juga rakan mangsa, lelaki berbangsa Nepal itu dipercayai mabuk bersama dua lagi rakannya sebelum dia kemudiannya terjun untuk berenang ke tasik terbabit.

"Mangsa dipercayai mabuk bersama dua lagi rakannya. Pasukan bomba mula membuat pencarian mangsa selepas menerima panggilan jam 7.37 malam tadi.

"Menurut rakan mangsa, mangsa berenang ke tengah tasik lombong itu dalam anggaran 15 meter dari tebing sebelum kemudiannya tenggelam dan dipercayai lemas.

"Susulan itu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneruskan kerja menyelamat pada pagi ini dengan bantuan pasukan penyelam JBPM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bomba membawa mayat mangsa naik ke tebing sebelum mayat diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 11:00 AM