JASAD ditemui anggota bomba berhampiran lokasi dia dilaporkan terjatuh. IHSAN Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
JASAD ditemui anggota bomba berhampiran lokasi dia dilaporkan terjatuh. IHSAN Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Mohammed Arsyad Md Yassin


Tapah: Remaja lelaki lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di lombong terbiar di Temoh, di sini, hari ini.

Mohd Fauzi Zulkifli, 14, dikatakan terjatuh dari tebing lombong dan dipercayai lemas, pada kira-kira 5 petang.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Tapah yang menjalankan operasi kemudian menemui mayat mangsa berhampiran lokasi mangsa dilaporkan terjatuh, pada 6.13 petang.

Pegawai Operasi Zon 4 Perak, Penolong Penguasa Bomba Kamarulzaman Busirun, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.02 petang.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari tebing ketika bermandi di lombong berkenaan sebelum tiga sahabatnya bergegas meminta bantuan kepada orang kampung.

"Operasi mencari dan menyelamat dengan menggunakan kaedah pencarian dari atas permukaan air dan menyelam di lokasi awal mangsa disyaki lemas. Kawasan pencarian diperluaskan kepada lima meter sehingga mayat mangsa berjaya ditemui,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 9:18 PM