GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Seorang pekerja lombong ditemukan lemas apabila bot dinaiki bersama empat rakan terbalik di sebuah lombong di Kampung Labohan Dagang, Banting, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, mangsa ditemui jam 11.35 pagi pada jarak tujuh meter dari tebing, pada kedalaman lima meter oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

"Pasukan PPDA mengambil masa kira-kira sejam menjalankan kerja mencari dan menyelamat sebelum mangsa ditemui.

"Mangsa sudah dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.13 pagi dan tiba di lokasi kejadian jam 8.52 pagi.

"Ketika kejadian semua pekerja lombong sedang bekerja dan dalam perjalanan menuju ke kapal sebelum bot berkenaan terbalik.

"Dalam kejadian itu, empat dari lima mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing lombong terbabit manakala seorang mangsa dikhuatiri lemas

"Kejadian itu membabitkan lima lelaki warga tempatan berumur lingkungan 20-an.

"Siasatan mendapati jarak lokasi mangsa jatuh dengan tebing adalah tiga meter, manakala ketinggian air lombong adalah tujuh meter," katanya.

Hafisham berkata, susulan kejadian itu pihaknya menggerakkan operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan BBP Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan lebih 10 pegawai dan anggota termasuk PPDA yang diketuai Pegawai Bahagian Operasi Negeri, Juyana @ Azlan Musa dan Ketua BBP Banting, Muhammad Fadzrul Azren Md Razif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 1:18 PM