HADIRIN khusyuk mendengar ceramah.
HADIRIN khusyuk mendengar ceramah.

Memiliki fizikal yang sihat sebenarnya tidak bermakna badan kita bebas daripada sebarang penyakit berbahaya.

Ini kerana, banyak penyakit berbahaya hari ini 'membunuh' secara senyap tanpa dapat dikesan sejak awal.

Selain membabitkan kardiovaskular, penyakit kronik lain seperti diabetes juga antara penyebab utama kematian di negara ini.

Diabetes secara umumnya bukanlah sekadar penyakit berkaitan makanan, tetapi turut membabitkan amalan gaya hidup.

Sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia pada 14 November lalu, Pusat Perubatan Tropicana (TMC) mengadakan ceramah kesedaran kesihatan mengenai penyakit berkenaan kepada orang awam.

Ceramah disertai perunding endokrinologi Profesor Emeritus Datuk Dr Khalid Abdul Kadir yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang berkenaan.

Menurutnya, diabetes sebenarnya boleh dicegah jika masyarakat mengamalkan pengambilan nutrisi harian yang betul.

"Ia bukan penyakit akibat makanan semata-mata kerana diabetes juga sebenarnya disebabkan amalan gaya hidup seseorang.

"Justeru, kita perlu memastikan pengambilan makanan dalam julat yang sihat dan menjaga berat badan," katanya.

Menurutnya, selain diabetes masalah terlebih berat badan (obesiti) juga boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan.

"Komplikasi lain termasuk penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi, serangan angin ahmar, barah dan penyakit paru-paru," katanya.

Pegawai Perubatan Pusat Diabetes, Obesiti dan Metabolik TMC, Dr Goh Shereen berkata, kadar golongan dewasa di negara ini yang mengalami masalah berat badan adalah tinggi iaitu 44.2 peratus berbanding negara jiran di rantau Asia Tenggara.

"Thailand contohnya mencatatkan kadar masalah berat badan sekitar 32.2 peratus manakala Singapura, 30.2 peratus dan Filipina, 26.5 peratus.

"Ia sesuatu yang membimbangkan dan bagi mengatasi masalah berkenaan, TMC merangka program bersesuaian bagi memastikan individu yang mengalami masalah berkenaan dapat menurunkan berat badan secara sihat, mampan dan progresif," katanya.

Pada majlis terbabit, orang ramai tidak melepaskan peluang melakukan pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan pusat perubatan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:01 AM