ELAK makan berlebihan ketika Ramadan.
ELAK makan berlebihan ketika Ramadan.
Siti Nadirah Hafidzin

Ramadan sinonim dengan bazar yang menjual beraneka jenis makanan menyelerakan. Hampir setiap petang orang ramai berpusu-pusu singgah mencari juadah berbuka puasa di bazar Ramadan yang berhampiran rumah mahupun pejabat.

Ia bukanlah satu kesalahan membeli juadah diingini, namun disebabkan ada di antara makanan itu mengandungi kalori berlebihan selain ramai yang membeli dalam kuantiti banyak menyebabkan risiko kepada kesihatan diri.

Pengambilan makanan yang tidak sihat dalam kuantiti banyak selain gaya hidup tidak seimbang berkait rapat dengan penyakit diabetes yang menyerang sesiapa saja tanpa mengira usia.

Tanggapan umum menyatakan penyakit itu hanya dapat dikesan dan dihidapi golongan dewasa atau individu yang memiliki lebihan berat badan ternyata tidak tepat sama sekali.

Sebagai contoh, penyakit diabetes dikategorikan sebagai antara penyakit kronik orang dewasa turut dialami kanak-kanak serta golongan muda walaupun jenisnya mungkin berbeza.

Berdasarkan Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan rakyat Malaysia paling ramai mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti. Apa yang membimbangkan, jumlahnya bertambah dengan ketara setiap tahun.

Berlebihan berat badan inilah yang menjadi antara faktor risiko untuk pelbagai masalah kesihatan terutama penyakit berkaitan gaya hidup yang sebenarnya boleh dicegah khususnya diabetes.

Mengulas tabiat rakyat Malaysia mengenai pengambilan makanan ketika Ramadan, Ketua Pegawai Perubatan Hospital Columbia Asia Dr Ng Lee Li berkata, kajian mendapati pemakanan tidak seimbang, gaya hidup tidak sihat dan waktu bekerja yang panjang menjadi risiko terbesar diabetes juga pelbagai penyakit lain.

“Peningkatan jumlah individu yang menghidap diabetes setiap tahun amat membimbangkan dan ia perlu ditangani segera. Saya sendiri tahu Ramadan sinonim dengan makanan, namun sebaiknya masyarakat beragama Islam menggunakan saat ini untuk menjaga pemakanan dan kesihatan, bukannya mengambil makanan secara berlebihan.

“Setiap individu perlu mengambil makanan seimbang ketika berbuka dan bersahur, bukan dengan cara makan sepanjang malam dan akhirnya mengakibatkan badan menjadi lesu akibat kenyang terlampau.

“Sebenarnya penjagaan pemakanan perlu dilakukan sepanjang

masa, tetapi pada Ramadan dan perayaan akan datang ini ia perlu diberi lebih perhatian kerana kita disajikan dengan pelbagai makanan enak. Kita maklum, pada bulan puasa dan musim perayaan memang terkenal dengan pengambilan makanan yang tidak seimbang,” katanya.

BELAJAR KAWAL SELERA

Menurutnya, kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit itu perlu lebih ditekankan kepada setiap individu dengan lebih serius.

“Jangan menganggap ia perkara remeh dengan meneruskan rutin harian tidak sihat terutama dari aspek pemakanan. Ramai beranggapan waktu berbuka adalah waktu di mana semua makanan perlu dihabiskan dan mereka mengambil kesempatan makan secara berlebihan.

“Jika diteliti, rakyat negara kita sebenarnya sentiasa terlebih makan. Makanan sudah menjadi perkara wajib dalam kebanyakan acara sama ada pertemuan dengan rakan hinggalah kepada mesyuarat di pejabat. Di negara kita, bulan puasa boleh dianggap sebagai bulan pesta makanan kerana ketika inilah munculnya beraneka jenis hidangan yang sukar ditemui pada waktu lain,” ujarnya.

Tambahnya, kerana tergoda dengan sajian yang dijual menyebabkan ramai membeli banyak makanan melebihi keperluan. Maka tidak hairanlah jika ada orang yang bertambah berat badannya ketika Ramadan.

“Kecenderungan makan banyak ini diteruskan lagi sepanjang Syawal yang secara tidak langsung boleh mendekatkan kita dengan risiko gemuk dan penyakit gaya hidup. Bagi yang sudah menghidap diabetes, ia menyukarkan lagi usaha mengawal penyakit mereka.

“Lakukan senaman, makan secara sihat dan bertemulah dengan pakar untuk belajar mengawal atau menangani penyakit itu sekiranya anda mula merasai tanda kurang sihat,” katanya.

Beliau berkata, purata pengambilan gula dalam sehari yang disarankan bagi setiap individu hanyalah 11 sudu teh, namun kebanyakan rakyat Malaysia mengambil gula sehingga 24 sudu teh setiap hari.

“Jangan jadikan berpuasa sebagai alasan untuk elak bersenam, tidak perlu senaman yang keterlaluan, namun apa yang penting lakukan senaman ringkas untuk mengeluarkan peluh dan kekal sihat.

“Setiap individu perlu sedar dan sayangi diri dengan menjaga pengambilan makanan setiap hari,” katanya.

TIP UNTUK PESAKIT DIABETES

Dr Ng berkongsi tip makan secara sihat bagi mengurangkan risiko diabetes juga kepada penghidap diabetes ketika Ramadan dan menjelang perayaan:

- Hadkan pengambilan minuman manis bagi membantu mengawal diabetes.

- Kiraan karbohidrat dan jumlah pengambilan karbohidrat adalah lebih penting daripada jenis karbohidrat yang anda makan

- Jangan tinggalkan pengambilan karbohidrat walaupun anda pesakit diabetes kerana ia sebahagian daripada diet sihat dan seimbang.

- Buah-buahan boleh dikategorikan sebagai makanan mesra diabetes tetapi perlu mengambilnya sebagai sebahagian daripada karbohidrat harian anda. Untuk itu, jumlahnya perlu dikawal.

- Kawalan saiz hidangan adalah kejayaan utama dalam pelan pengurusan diet.

- Makan secara berlebihan berlaku kerana individu itu cenderung untuk memuaskan nafsu seleranya atau makan ketika sangat lapar.

- Makan sebahagian kecil daripada makanan yang anda sukar.

- Keinginan untuk menikmati makanan masin akan berkurangan apabila anda mula mengurangkan pengambilan garam secara beransur-ansur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 1:30 PM