CHOPRA dan Jonas tiba di lapangan terbang Jodhpur di negeri tandus Rajasthan, India, semalam. FOTO/REUTERS
CHOPRA dan Jonas tiba di lapangan terbang Jodhpur di negeri tandus Rajasthan, India, semalam. FOTO/REUTERS
AFP

JODHPUR: Aktres Bollywood, Priyanka Chopra dan penyanyi Amerika Syarikat (AS), Nick Jonas, mendarat di bandar ini semalam ketika keterujaan upacara perkahwinan mereka, digelar ‘perkahwinan paling gemilang tahun ini’, mencapai kemuncaknya.

Pasangan terkenal itu melambai dan tersenyum ke arah jurugambar ketika meninggalkan lapangan terbang ‘Bandar Biru’ India itu di mana mereka akan melangsungkan perkahwinan dalam upacara mewah hujung minggu ini.

Chopra, 36, dan Jonas, 26, akan berkahwin di hotel Umaid Bhawan Palace bandar ini, di negeri barat tandus Rajasthan, esok (Sabtu).

Mereka disertai oleh kaum keluarga termasuk saudara lelaki Jonas, Joe dan tunangnya, aktres Britain, bintang ‘Game of Thrones’, Sophie Turner.

Media India sibuk dengan butiran dan spekulasi hari bersejarah itu, digelar acara paling gemilang Bollywood.

“Beliau antara aktres terbaik di India dan cantik. Semua rakyat India teruja dengan perkahwinan beliau,” kata seorang peminat Chopra, Prakash Pujari, di luar pawagam di Mumbai, pusat utama filem Bollywood.

Chopra, yang menang pertandingan Miss World pada 2000, adalah bintang paling dikenali Bollywood dan segelintir yang mencapai kejayaan di Barat.

Beliau membintangi siri thriller ABC, ‘Quantico’ dan mengeluarkan lagu bersama peneraju carta utama AS termasuk Pitbull dan The Chainsmokers.

Jonas meraih kejayaan ketika kanak-kanak sebagai anggota utama The Jonas Brothers bersama adik-beradiknya.

Pasangan itu bertunang Ogos lalu, berkongsi gambar di media sosial menunjukkan mereka berdoa sambil memakai pakaian tradisi India.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 11:50 AM