Pasir Puteh: Dua sahabat Noorul Khaleeda Mohd Zahari dan Nik Nurul Fatihah Wahida Mah Hassan masing-masing berusia 20 tahun diiktiraf pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman (SMKSA), di sini kerana pencapaian dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 yang diumumkan semalam.

Noorul Khaleeda dari Permatang Sungkai memperoleh semua A dalam lima subjek diambil, manakala Nik Nurul Fatihah mencatat Prinsipal A untuk empat mata pelajaran dan Prinsipal B untuk subjek Ekonomi.

Kedua-duanya mengakui hubungan persahabatan yang sudah mencecah usia 15 tahun menyebabkan mereka erat dan sukar dipisahkan kerana melakukan semua aktiviti bersama terutama mengulang kaji pelajaran.

Noorul Khaleeda berkata, selesa berkawan dengan Nik Nurul Fatihah kerana berkongsi minat dan kelakuan yang tidak jauh beza dengannya.

“Di sekolah kami dipanggil kembar kerana selalu berkepit dan kerap ke bilik guru untuk bertanya soalan yang tidak difahami ketika pembelajaran dalam kelas.

“Saya gembira kerana kami berdua berjaya dan ini adalah berkat kerja keras kami,” katanya yang memberitahu mengamalkan baca Yasin setiap kali selesai solat berjemaah bersama Nik Nurul Fatihah ketika sesi persekolahan.

Nik Nurul Fatihah pula berkata, walaupun kecewa tidak memperoleh semua A lima subjek diambil, dia tetap bersyukur kerana tetap cemerlang di sisi rakan baiknya.

Katanya, pengetua, Ruhani Mamat, guru penyelia tingkatan enam, Che Hazmi Jusoh banyak membantu dengan memberi sokongan moral.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:52 AM