Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Pasir Mas: Pernah gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mematahkan semangat Mohd Nizam Mat Daud, 19, untuk berusaha sehingga berjaya.

Malah, ketekunan dan tekad pelajar itu membuahkan hasil apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan, semalam.

Pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kangkong memperoleh A dalam empat mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah dan Pengajian Perniagaan.

“Saya pernah gagal dalam SPM dan memperoleh keputusan teruk, tetapi tidak patah semangat, sebaliknya bangkit dan kejar cita-cita untuk menjadi seorang pendidik.

“Penguat semangat saya adalah keratan akhbar memaparkan kejayaan pelajar di Malaysia. Mereka sumber inspirasi saya dan saya tampal semua keratan ini dalam bilik tidur saya.

“Setiap pagi selepas bangun tidur, saya akan baca keratan akhbar ini dan cerita mereka itu akan mendorong saya belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.

“Perangsang saya adalah cerita kejayaan orang lain dan alhamdulillah saya berjaya hari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cabang Tiga Chetok, di sini, semalam.

Selain itu, dia juga mengamalkan solat hajat selama 40 hari sebelum, semasa dan selepas peperiksaan, selain memastikan solat lima waktunya sentiasa terjamin.

Katanya, yakin dengan solat mampu mendekatkan dirinya dengan Allah.

“Penting juga kita mendengar nasihat ibu dan hari ini (semalam) saya gembira kerana nasihat ibu saya berjaya dan ia sama sekali tidak merugikan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:52 AM