ANGGOTA forensik membuat siasatan sekali lagi di rumah mangsa. FOTO Supian Ahmad
ANGGOTA forensik membuat siasatan sekali lagi di rumah mangsa. FOTO Supian Ahmad
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Lelaki yang ditemui mati terbaring atas tilam di ruang tamu rumahnya di Persiaran 1, Taman Bersatu, Simpang Pulai, di sini malam tadi dipercayai dibunuh.

Menurut sumber bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini mendapati terdapat satu lagi kesan luka di bahagian belakang kepala mangsa.

Dalam kejadian 8.40 malam tadi, mangsa, Chan Mook San, 55, ditemui oleh adik lelakinya dan pemeriksaan awal polis menemui kesan darah di sekitar ruang tamu selain kesan luka kira-kira empat sentimeter di bahagian atas kening kanan mangsa.

Menurut adik mangsa, Chan Man Keong, 51, pemeriksaan yang dibuat oleh ahli keluarga di rumah mangsa pagi tadi mendapati beberapa barangan berharga mangsa gagal ditemui.

"Dompet abang sulung saya (Mook San) tidak ditemui di dalam rumahnya, selain itu motosikal mangsa jenis Honda yang selalu diletak di depan rumah juga tiada.

"Kami juga gagal menemui kunci rumah serta kunci motosikal mangsa," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, hari ini.

Sementara itu, pasukan forensik sekali lagi membuat siasatan di lokasi kejadian petang ini.

Pasukan berkenaan dilihat tiba di rumah mangsa 3.30 petang dipercayai bagi melakukan siasatan lanjut selepas bedah siasat mempercayai terdapat unsur jenayah berhubung kematian mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 4:25 PM