KEADAAN dalam rumah yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN dalam rumah yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Oleh Muhammad Apendy Issahak

 

Ipoh: Seorang wanita maut, seorang lagi selamat, manakala seorang lelaki melecur 40 peratus dalam kebakaran rumah di Hala Bekor 2, Taman Pertama, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2 pagi itu, kebakaran membabitkan rumah kediaman dua tingkat yang difahamkan adalah rumah sewa mangsa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahya Madis berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 2.06 pagi dan sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati berlaku kebakaran di ruang tamu kediaman berkenaan.

"Anggota bomba bertindak memecahkan pintu belakang rumah terbabit untuk masuk ke dalam rumah dan pemeriksaan menemui tiga mangsa iaitu dua wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa.

"Dua mangsa (lelaki dan wanita) ditemui di tingkat bawah rumah dan kedua-duanya selamat dibawa keluar, namun mangsa lelaki melecur 40 peratus di badan.

"Seorang lagi wanita ditemui di tingkat atas rumah berkenaan dan dibawa keluar, namun pihak perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, mangsa yang selamat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan, manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi pemadaman kebakaran diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam dan tamat pada 3.30 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 8:46 AM