Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Seorang lelaki ditemui mati di rumahnya di Persiaran 1, Taman Bersatu, Simpang Pulai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.40 malam itu, Chan Mook Han, 55, ditemui terbaring di ruang tamu rumahnya dengan kesan luka atas kening kanannya.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa ditemui adik lelakinya berusia 51 tahun yang datang ke rumah untuk menjenguk mangsa.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang bujang dan tinggal bersendirian, bekerja memungut barangan lusuh.

"Mangsa tinggal bersendirian di rumah itu sejak ibu bapanya meninggal dunia lima tahun lalu.

"Pada malam tadi adik mangsa datang ke rumahnya dan menemui mangsa sudah meninggal dunia di atas tilam di ruang tamu sebelum menghubungi polis.

"Pemeriksaan menemui kesan darah di sekitar ruang tamu serta luka kira-kira empat sentimeter di atas dahi kanan mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam rumah mangsa tiada sebarang kesan pergelutan atau barang diselongkar.

"Barangan berharga milik mangsa juga didapati tidak hilang dan tidak menemui sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian, termasuk senjata,” katanya.

Chang Keong berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat pagi ini untuk mengenalpasti punca kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 1:07 AM