INFANTINO presiden baru FIFA.
INFANTINO presiden baru FIFA.
AFP

Paris: Sepp Blatter mengingatkan Gianni Infantino bahawa ramai yang mengharapkan beliau untuk mencipta keajaiban selepas dipilih sebagai presiden baharu FIFA dan ramai juga yang pasti memusuhinya jika gagal mengotakan janji.

Blatter yang sedang menjalani tempoh penggantungan enam tahun, menyaksikan penguasaannya selama 18 tahun di kerusi empuk badan induk dunia itu berakhir selepas Infantino yang juga Setiausaha Agung UEFA berusia 45 tahun dipilih untuk menggantikannya.

Menerusi surat terbuka yang ditujukan kepada peguam berkenaan, Blatter mengingatkan penggantinya itu supaya berhati-hati dengan risiko yang mengiringi tugasnya. Beliau turut menawarkan bantuan jika diperlukan.

“Tahniah tapi anda perlu ingat tugas ini bukan mudah. Banyak pihak yang mengharapkan keajaiban,” kata Blatter dalam surat yang disiarkan akhbar Perancis Journal du dimanche.

“Saya mengharungi semuanya sejak 18 tahun lalu dan saya mengabdikan diri untuk FIFA selama 41 tahun.”

Blatter berkata, pelbagai perubahan pasti dituntut banyak pihak dalam usaha melonjakkan semula imej badan induk bola sepak dunia itu dan ia pasti membantu jika Infantino berjaya.

“Untuk mencipta keajaiban, anda perlu dibantu oleh individu yang mengundi anda dan saya juga pernah berada di tempat anda. “Jika anda mahukan pendapat atau nasihat, jangan malu untuk meminta.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:07 AM