SERGIO Aguero (kanan) sandaran City robek Liverpool.
SERGIO Aguero (kanan) sandaran City robek Liverpool.
AFP

London: Pengurus Liverpool Jurgen Klopp mahu memburu piala pertamanya bersama kelab itu manakala rakan sejawatannya di Manchester City Manuel Pellegrini pula mengidam kejuaraan terakhirnya pada aksi final di Wembley malam ini.

Klopp, 48, tidak sampai lima bulan mengendalikan Liverpool tetapi beliau sudah berpeluang membimbing kelab itu ke kejuaraan pertama sambil Pellegrini, 62, hanya memiliki masa tiga bulan di City sebelum menyerahkan jawatannya kepada Pep Guardiola.

City adalah pilihan tetapi bekas kapten Liverpool Steven Gerrard mendakwa pengalaman Klopp ketika menerajui Borussia Dortmund apabila memenangi lima piala akan memberi kelebihan buat Reds.

Menjawab jangkaan Gerrard itu, Klopp berkata: “Saya tidak pasti sama ada mampu membawa kelebihan seperti didakwa. Tapi saya tahu cara untuk kami menang. Tidak ada sebab untuk meragui kaedah yang saya sebutkan itu.

“Saya perlu menyatakannya secara jelas kerana tidak mahu ada salah faham dalam kalangan pemain.

“Kami memikul tanggungjawab dalam arena bola sepak profesional. Kami mahu muncul pemenang: gelaran, piala, apa saja.

“Ramai pengurus mengabdikan diri mereka sepanjang hidup dan berjaya, tapi mereka masih tidak pernah memenangi piala. Kini, semuanya tampak boleh berlaku.”

Selepas ketinggalan sembilan mata di belakang City yang menduduki tangga keempat Liga Perdana, impian Liverpool untuk layak ke Liga Juara-Juara semakin pudar selain tersingkir daripada saingan Piala FA apabila tewas di tangan West Ham United.

Mereka akan berdepan Manchester United dalam kelompok 16 pasukan terakhir Liga Europa tetapi saingan malam ini memberi peluang buat Klopp untuk menjulang sesuatu.

Lapan gelaran Piala Liga membuatkan Liverpool sebagai pasukan paling berjaya dalam saingan berkenaan tetapi mereka masih belum berjaya memenangi sebarang kejuaraan sejak 2012.

Kehadiran Klopp setakat ini memberikan kesan baik yang diterjemahkan menerusi kemenangan di City dan Chelsea selain kejayaan 5-4 ke atas Norwich City dan membelasah Southampton dan Aston Villa dengan enam gol.

Liverpool menang 4-1 di Stadium Etihad, November lalu iaitu kali terakhir mereka bertemu City tetapi Klopp dan Pellegrini masing-masing enggan mengaitkan pertemuan malam ini dengan keputusan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 8:55 AM