Guardiola bersama Klopp pada saingan Liga Perdana Inggeris
Guardiola bersama Klopp pada saingan Liga Perdana Inggeris
AFP

London: Ketua jurulatih Manchester City Pep Guardiola menjelaskan tidurnya selepas ini lebih lena apabila 'musuh' utamanya Jurgen Klopp mengumumkan akan meninggalkan Liverpool akhir musim ini.

Terdahulu, Klopp membuat ramai pihak 'tersentak' selepas mengumumkan akan meletakkan jawatan sebaik kempen Liga Perdana Inggeris berakhir.

Melihat kepada situasi ketika ini, pengendali The Reds itu adalah pesaing utama Guardiola untuk kejuaraan domestik sepanjang mereka di England.

Walaupun Guardiola berjaya mengumpul lebih banyak trofi bersama City, pengendali dari Sepanyol itu sedar ancaman diberikan oleh Klopp dan pasukannya.

Selepas kemenangan 1-0 Manchester City di Tottenham pada pusingan keempat Piala FA awal pagi tadi, Guardiola mengakui Klopp adalah jurulatih yang hebat.

"Dia pengendali yang hebat, saya tidak mengenalinya secara dekat tetapi saya rasa dia juga seorang yang baik.

"Saya dapat merasakan apabila dia pergi pada hujung musim ini, sebahagian daripada Manchester City juga akan pergi. Mereka adalah pesaing terbesar kami, Liverpool sejak beberapa tahun lalu."

Klopp berkata dia meninggalkan Liverpool kerana tidak mampu lagi untuk menguruskan kelab berprofil tinggi itu selepas sembilan tahun di Anfield.

Guardiola, 53, memahami keputusan diambil pesaing yang tiga tahun lebih tua daripadanya itu, selepas dia melakukan perkara sama ketika di Barcelona pada tahun 2012.

"Semua pengendali akan rasa merasakannya selepas beberapa tahun, itulah yang saya rasakan. Saya lalui di Barcelona dan saya sangat faham," katanya.

Walaupun City memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris terakhir, misi mempertahankan kejuaraan kali ini diancam oleh anak buah Klopp.

Liverpool kini berada di puncak liga dengan kelebihan lima mata ke atas City, yang bermain kurang satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 8:18 AM