PENYELIDIK UPM, Prof Dr Foo Hooi Ling menerangkan produk untuk sektor akuakultur.
PENYELIDIK UPM, Prof Dr Foo Hooi Ling menerangkan produk untuk sektor akuakultur.
Oleh Mohd Sabran Md Sani

Sebanyak 17 produk penyelidikan membabitkan 15 penyelidik Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) dipamerkan sempena Sambutan Sedekad Biotech di Dewan Kuliah Utama, ­BioTech 1, UPM, baru-baru ini.

Dikembarkan bersama Hari Inovasi dan Seminar Kebangsaan Siswazah, program sehari itu membuka ruang kepada penyelidik fakulti berkenaan mempromosikan produk inovasi ciptaan mereka.

Antara produk dan pe­nyelidikan yang mencuri tumpuan adalah 'matabolite' daripada bakteria asid laktik serta mi berprotein tinggi dihasilkan daripada hampas soya dan bunga matahari.

Turut dipamerkan kit untuk mengesan sisa toksik, ujian pengesanan pantas bagi virus Nipah, detergen me­ngandungi enzim 'lipase' dan penggunaan sisa sawit bagi tujuan penghasilan pelbagai produk seperti gula, polimer, komposit dan bahan kimia.

Program kerjasama Putra Science Park UPM itu disempurnakan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Hadir sama, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan; Dekan FBSB, Prof Datin Paduka Dr Khatijah Yusoff dan Pengarah Putra Science Park UPM, Prof Madya Dr Samsilah Roslan.

Sempena hari terbuka, siswa universiti berkenaan mengambil peluang melihat lebih dekat produk inovasi ditampilkan.

Dr Asma dalam ucapannya berkata, bidang bioteknologi (biotek) adalah bidang baru yang diberi penekanan oleh kerajaan dan berpotensi menjadi pemacu dalam pertumbuhan ekonomi negara.

"Dasar biotek negara dilancarkan pada April 2005 dan ia komitmen kerajaan untuk menerokai bidang biotech dalam usaha untuk membangunkan ekonomi berteraskan inovasi.

"Secara tidak langsung menjadi penjana utama pertumbuhan Malaysia sebagai negara yang sedang menuju ke arah ekonomi yang berteraskan pengetahuan menjelang 2020," katanya.

Biotek katanya, sangat penting bagi mengukuh­kan sektor utama negara seperti perladangan dan pengeluaran, selain memajukan sektor baharu seperti ubat-ubatan dan pertanian makanan.

"Strategi UPM untuk­ melonjakkan bidang teras dalam ­biotek tropika baru ataupun pertanian tepat pada masanya," katanya.

Teras ketiga dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) katanya adalah 'Memperteguhkan Penyelidikan dan Inovasi'.

"Ia menunjukkan bahawa universiti sememangnya harus pantas bergerak ke arah ekonomi berasakan pengetahuan dan inovasi melalui jalinan kerjasama dalam kalangan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara dengan syarikat swasta dan organisasi berkaitan.

"Sebagai usaha dalam memantapkan keupayaan aktiviti penyelidikan yang berkualiti di universiti bagi menyumbang kepada sistem inovasi kebangsaan," katanya.

Persaingan sengit bagi mendapatkan dana penyelidikan yang terhad pada masa ini menjadi cabaran besar kepada universiti.

Justeru katanya, universiti perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti penyelidikan setanding dan diiktiraf di ­peringkat antarabangsa.

"Sehubungan itu universiti juga perlu mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan.

"Sebaliknya tumpuan harus diberi kepada jari­ngan kerjasama dengan pihak swasta dan antarabangsa supaya sekurang-kurangnya bagi mendapatkan geran padanan," katanya.

Menurutnya, komitmen ditunjukkan pegawai akademik dalam membudayakan penyelidikan dan inovasi memberi kelebihan kepada universiti untuk bergerak lebih jauh lagi.

"Kerjasama yang ­diberikan oleh syarikat multi­nasional, institusi dalam dan luar negara serta syarikat swasta dalam bidang penyelidikan menjadikan negara kita setanding dengan negara luar.

"Dalam mendukung aspirasi kerajaan dalam bidang ini, kementerian juga mengiktiraf dan menaik taraf beberapa pusat penyelidikan di institusi pengajian tinggi dipanggil Hico.

"Saya percaya bidang biotek ini berkemampuan untuk bergerak dengan lebih jauh lagi dengan usaha yang ditunjukkan oleh UPM khususnya dalam mengembangkan penyelidikan dan inovasi dalam bidang terbabit," katanya.

Kesungguhan fakulti dalam membudayakan pe­nyelidikan dalam kalangan ahli akademik memberi kepercayaan kepada masyarakat dan kerajaan dalam memacu program tansformasi kerajaan.

"Dalam tempoh sedekad ini, fakulti ini melahirkan ramai graduan berkualiti dan berada di pasaran kerja.

"Graduan ini akan meng­gerakkan jentera pembangunan biotech di negara ini. Keperluan tenaga kerja dalam bidang ini dijangka meningkat pada masa akan datang," katanya.

Di akhir ucapan Dr Asma menyeru syarikat swasta bekerjasama serta berganding bahu dalam melonjakkan bidang itu.

"Ia termasuk melalui kerjasama projek pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam bidang ini, bagi memastikan wawasan negara tercapai terutama dalam bidang pertanian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:23 AM