Khamarul Rezan dan Ketua Pegawai Eksekutif MA Saujana, Azrita Tengah menunjukkan pek uncang daun rerama jenama Christia Herbal Tea.
Khamarul Rezan dan Ketua Pegawai Eksekutif MA Saujana, Azrita Tengah menunjukkan pek uncang daun rerama jenama Christia Herbal Tea.
Rizanizam Abdul Hamid

Serdang: Kejayaannya mendapat ribuan testimoni positif pesakit sejak 10 tahun lalu mendorong pemilik daun rerama ini menghasilkan produk berkenaan ke dalam bentuk uncang demi memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan pengguna.

Pemilik Seribu Satu Herba Enterprise Khamarul Rezan Lim Abdullah berkata, beliau menggunakan jenama Christia Herbal Tea yang berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk melindungi hak harta inteleknya daripada ditiru syarikat lain yang turut menjalankan perniagaan daun rerama.

“Sebelum ini, daun rerama yang kami hasilkan dijual secara ‘kampung’ di dalam bungkusan plastik berharga RM30 sebungkus di mana pengguna perlu menggunakan kaedah rebus, tapis dan minum.

“Namun selepas 10 tahun berada di pasaran dan mendapat ribuan testimoni pengguna, daun rerama ini kini dikomersialkan dalam pek uncang yang lebih mudah digunakan sejak November lalu,” katanya.

Beliau berkata, pengguna boleh mendapatkan Christia Herbal Tea yang mula dijual di Pavillion Negeri Melaka Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bermula hari ini sehingga pameran berakhir 11 Disember ini dengan kerjasama syarikat MA Saujana Sdn Bhd.

“Sempena MAHA 2016, kami menyasarkan menjual 5,000 kotak daun rerama Christia pada harga RM130 sekotak yang mempunyai 30 uncang untuk kegunaan selama sebulan.

“Pek uncang Christia ini dihasilkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sekali gus menjamin khasiat dan keberkesanannya,” katanya.

Tambahnya, pengilangan dan pembungkusan produk dilakukan TPM Biotech Sdn Bhd (TPMB) iaitu anak syarikat milik penuh Technology Park Malaysia Corp Sdn Bhd (TPM) di Raub, Pahang.

Harian Metro pada pada 4 Februari tahun lalu melaporkan kajian awal sekumpulan penyelidik UPM Serdang terhadap tumbuhan yang dikenali daun rerama atau Red Butterfly Wing atau nama saintifiknya Christia Vespertilionis ini mendapati ia menunjukkan ciri antibarah dan antike-
radangan.

Penyelidik Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Latifah Saiful Yazan dipetik berkata, ekstrak tumbuhan itu menunjukkan tindak balas positif terhadap sel barah terutamanya barah payudara pada peringkat in vitro.

Kajian mendapati tanaman daun rerama bukan sahaja berkesan membantu merawat kanser tetapi juga penyakit lain berkaitan sel darah seperti, Sistem Lupus Erithematosus (SLE), denggi dan angin ahmar, darah tinggi, kencing manis, masalah usus (seperti gastrik, sembelit dan cirit birit), asma, migrain, resdung dan demam campak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 10:31 AM