Johor Bahru: Wanita dipercayai terlibat dalam penipuan penjualan lampin bayi murah ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Jawa, Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata penahanan suspek yang berusia 26 tahun itu adalah susulan daripada laporan orang awam yang menjadi mangsa penipuannya pada 16 Januari lalu.

Beliau berkata dengan penahanan wanita itu, ia dipercayai dapat menyelesaikan 16 kes penipuan yang melibatkan suspek itu menjual lampin bayi murah di laman sosial Facebook.

“Modus operandi suspek ialah akan mengiklankan barangan bayi seperti lampin bayi pada kadar harga yang murah menerusi akaun Facebook ‘Dhia Alesya Sofea’,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kemudian, setelah pengguna maya berminat untuk membeli dan memasukkan sejumlah wang ke dalam nombor akaun yang diberikan, suspek akan memberi pelbagai alasan dan gagal dihubungi, tambah beliau.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, berikutan aduan yang dilakukan, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi mengesan dan menangkap suspek.

Beliau meminta agar orang awam yang pernah menjadi mangsa dan belum membuat laporan polis, tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Wan Ahmad Najmuddin menambah suspek akan dipohon reman hari ini dan orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan membuat semakan, sebelum berurusan secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 2:48 PM