WAN Ahmad. FOTO fail NSTP
WAN Ahmad. FOTO fail NSTP
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis Johor menerima dua laporan polis pada Jumaat dan semalam, berhubung penyalahgunaan media sosial yang mengaitkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd dalam satu kenyataan media berkata, laporan polis pertama diterima berhubung pembukaan akaun Twitter palsu atas nama TMJ.

“Akaun palsu ini turut menyunting gambar TMJ serta memuatnaik kenyataan sensitif berhubung kepimpinan sebuah parti politik," katanya.

Beliau berkata, laporan polis kedua diterima pula berhubung satu akaun Facebook (FB) yang memaparkan kenyataan TMJ bersifat menghina pemimpin negara.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan itu juga bersifat jelik dan boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan negara.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik Twitter dan FB terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan menyamarkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 4:21 PM