Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Ustaz Datuk Mohamad Kazim Elias menjalani rawatan angiogram di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, kira-kira 9 pagi ini.

Pegawai Khas Peribadinya, Rafi Rahman berkata, ustaz menjalani rawatan itu untuk merawat luka otot di bahagian jantung.

"Saya harap orang ramai mendoakan kesihatan Ustaz Kazim Elias dan semua rawatannya di sini berjalan lancar," katanya, di sini, hari ini.

Turut melawat Ustaz Kazim Elias, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Mokhtar Mustapa.

Harian Metro melaporkan Ustaz Kazim Elias dimasukkan ke HUSM selepas mengadu sakit dada ketika memberi ceramah di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gunong, Bachok.

Beliau sempat memberi ceramah selama lima minit dan sempat memohon maaf kepada 1,000 pengunjung yang hadir dalam ceramahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 10:17 AM