USTAZ Kazim (tengah) ketika membuat sidang media. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
USTAZ Kazim (tengah) ketika membuat sidang media. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pendakwah bebas Datuk Mohamad Kazim Elias, 44, dijangka dibenarkan pulang 2 petang ini selepas tiga hari mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata, selepas menjalani prosedur angiogram pagi semalam, kesihatannya hari ini semakin pulih dan sudah boleh berjalan, bercakap dengan lancar dan juga bernafas dengan baik.

Katanya, selepas ini, beliau dinasihatkan untuk berehat di rumahnya.

"Doktor nasihatkan saya berehat selama enam minggu dan saya sudah batalkan semua ceramah dan kuliah.

"Sepanjang tempoh itu saya akan berehat sepenuhnya di rumah dan itu yang terbaik untuk saya setakat ini kerana kesihatan saya juga perlu diutamakan.

"Di kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan pakar dan kakitangan hospital yang memberi rawatan terbaik kepada saya sepanjang berada di sini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Klinik Kesihatan Gunong yang membantu saya di peringkat awal saya mula-mula rebah sebelum mendapatkan rawatan lanjut di HUSM ," katanya kepadapemberita pada sidang media ketika ditemui di Wad 1 Fairuz, di sini, hari ini.

Pada petang ini beliau akan berangkat pulang ke Perak dengan menaiki helikopter.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Ustaz Kazim dimasukkan ke HUSM pada Jumaat lalu selepas mengadu sakit dada ketika memberi ceramah di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gunong, Bachok.

Beliau sempat memberi ceramah lima minit sebelum memohon maaf kepada 1,000 pengunjung kerana perlu menamatkan sesi ceramahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 1:57 PM