Hanoi: Tuan rumah bersama Vietnam menduduki tempat teratas Kumpulan A dan mara ke separuh akhir Piala AFF selepas menang 3-1 ke atas Filipina di Stadium My Dinh semalam.

Jaringan separuh masa pertama Ngo Hoang Thinh dan gol daripada Vu Minh Tuan serta Pham Thanh Luong selepas rehat bermakna kedua-dua pasukan layak ke kelompok empat terbaik.

Vietnam kini berdepan naib juara Kumpulan B yang bertemu hari ini di separuh akhir pertama pada 7 Disember. Filipina pula akan berdepan juara Kumpulan B pada 6 Disember.

Indonesia yang membelasah Laos 5-1 walaupun beraksi dengan 10 pemain untuk sebahagian besar perlawanan di Stadium Hang Day, tersingkir.

Gol Indonesia dijaringkan Evan Dimas, Rizki Ramdani (dua) dan Zulham Malik Zamrun serta gol sendiri kapten Laos, Ketsada Souksavanh.

Laos memperoleh gol tunggal menerusi sepakan penalti Khampeng Sayavutth. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:08 AM