PASUKAN perubatan Israel memeriksa mayat seorang lelaki Palestin yang ditembak mati di Baitulmaqdis, semalam.
PASUKAN perubatan Israel memeriksa mayat seorang lelaki Palestin yang ditembak mati di Baitulmaqdis, semalam.
AP

Baitulmaqdis: Askar Israel menembak mati tiga penduduk Palestin dalam serangan terhadap pasukan keselamatan kelmarin termasuk serangan pisau di bandar ini yang menyebabkan dua polis Yahudi cedera.

Jurucakap polis Israel, Luba Samri berkata, seorang pemuda Palestin berusia 20 tahun yang bersenjatakan pisau menyerang beberapa anggota polis Israel berhampiran Baitulmaqdis.

“Seorang anggota polis cedera di kepala akibat terkena pisau dan seorang lagi cedera di tangan ketika bergelut sebelum menembak mati penyerang berkenaan,” katanya.

Dua lagi serangan berlaku di Tebing Barat kelmarin ketika tunjuk perasaan sekumpulan penduduk Palestin.

Tentera Israel berkata, seorang lelaki Palestin yang memandu sebuah kereta cuba merempuh askar Israel ketika rusuhan di Ramallah.

“Askar Israel melepaskan tembakan menyebabkan lelaki itu mati di tempat kejadian,” katanya.

Dalam satu lagi rusuhan berasingan berhampiran Bethlehem juga di Tebing Barat, dua penduduk Palestin yang bersenjata api melepaskan tembakan ke arah tentera Israel.

Askar Israel membalas tembakan yang menyebabkan seorang penyerang maut manakala seorang lagi cedera.

Serangan itu yang terbaru sejak kebangkitan Palestin beberapa bulan lalu.

Keganasan yang tercetus sejak pertengahan September tahun lalu itu menyebabkan 28 warga Israel dan 165 penduduk Palestin terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:04 AM