Hishammuddin  memegang logo Bonafide Friends of UMNO bersama peguam muda ketika menghadiri diskusi bersama Bonafide Friends of UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Hishammuddin memegang logo Bonafide Friends of UMNO bersama peguam muda ketika menghadiri diskusi bersama Bonafide Friends of UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Golongan profesional muda dalam UMNO dinasihatkan supaya bijak ‘membawa diri’ bagi mengelakkan nasib ‘dicah keting’.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, mereka mesti menggunakan segala kebolehan mereka supaya keupayaan dapat dimanfaatkan walaupun budaya negatif itu berakar umbi dalam parti.

“Cah keting tak boleh dielakkan sebab itu amat penting kepada golongan muda pandai membawa diri dalam parti.

“Apabila dalam UMNO, latar belakang anda bukan ukuran sedangkan saya, Khairy (Jamaluddin) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pernah menerima nasib dicah keting,” katanya pada sidang media selepas hadir pada Program Diskusi Bersama Peguam anjuran Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Turut hadir Koordinator Unit Perundangan UMNO Datuk Razali Ibrahim.

Dalam pada itu Hishammuddin berkata, program pendekatan golongan profesional muda yang dianjurkan itu penting kerana adalah perubahan parti untuk menarik mereka dalam segmen penting masyarakat.

Beliau berkata, berkaitan peremajaan UMNO bahawa ia adalah langkah berterusan parti sejak dulu tanpa henti.

“Kita dapat lihat ramai pemimpin-pemimpin yang ada hari ini adalah produk hasil usaha peremajaan UMNO di mana dahulunya mereka bergerak sebagai pemuda dan hari ini kita lihat mereka itu pun sudah memegang jawatan tinggi seperti menteri atau menteri besar,” katanya.

Sebagai contoh, kata beliau, pemimpin seperti Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang kini menjadi Menteri Besar Perak, Datuk Mukhriz Mahathir (Menteri Besar Kedah), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Besar Johor), Khairy Jamaluddin (Menteri Belia dan Sukan), Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Perumahan dan Kesejahteraan Bandar) lahir daripada hasil usaha ini.

“Mereka ini lahir hasil usaha meremajakan UMNO tidak pernah berhenti sehingga ke hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:09 AM