ANTARA sajian Paddington House of Pancakes di Nu Sentral.
ANTARA sajian Paddington House of Pancakes di Nu Sentral.
QAIYUM (kanan) bersama Khalida dan Ruhainies (kiri) di Paddington House of Pancakes, Nu Sentral.
QAIYUM (kanan) bersama Khalida dan Ruhainies (kiri) di Paddington House of Pancakes, Nu Sentral.
KONSEP santai membuatkan restoran senantiasa dipenuhi pengunjung.
KONSEP santai membuatkan restoran senantiasa dipenuhi pengunjung.
RUHAINIES bersama menu kegemaran.
RUHAINIES bersama menu kegemaran.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Menyebut penkek, pasti ia sinonim dengan minuman petang. Di sebaliknya, pernahkah kita terfikir penkek juga boleh dimakan setiap masa bermula sarapan, makan tengah hari serta makan malam.

Konsep itulah yang cuba diketengahkan pemilik Paddington House of Pancakes, Abdul Qaiyum Hasnul dan isteri, Nurkhalida Shabery.

Menurut Khalida, dia dan suami mahu memberikan persepsi baru kepada masyarakat iaitu penkek tidak semestinya manis dan untuk makan petang sahaja.

“Di Paddington House of Pancakes, ada pelbagai jenis penkek dari seluruh dunia. Antaranya classic buckleberry, original pancake, blueberry pancake, New York cheese pancake, oreo pancake, Osaka pancake dan sebagainya.

“Kami juga mahu mendidik masayarakat, penkek tidak semestinya manis kerana di Paddington House of Pancakes, kami menyediakan menu seperti burger menggunakan penkek sebagai pengganti roti,” katanya ketika ditemui di restoran itu, baru-baru ini.

Tambah beliau, walaupun konsep itu baharu, orang ramai sudah boleh menerima dan sambutan daripada pengunjung sangat menggalakkan terutama golongan pelajar dan mereka yang bekerja di pejabat.

“Alhamdulillah, reaksi pengunjung sangat positif. Antara menu yang sering menjadi pilihan ialah Mexican double burger iaitu campuran daging, keju, tomato, salad, kepingan nanas dan penkek. Kami juga menyediakan menu lain seperti pasta bagi memberi lebih pilihan kepada pengunjung. Selain itu, kami juga sering menerima tempahan untuk majlis hari lahir, perjumpaan korporat dan reunion sekolah.

“Namun, bagi mengelakkan gangguan, tempahan hendaklah dibuat sekurang-kurangnya seminggu sebelum majlis,” katanya.

Sementera itu, Abdul Qaiyum pula berkata, ramai tidak sangka restoran Paddington House of Pancakes di Nu Sentral milik Bumiputera. Ini kerana lazimnya restoran yang ada nama besar jarang dimiliki Bumiputera.

“Inilah yang kami mahu buktikan kami juga mampu bersaing dengan bangsa asing terutama di pusat beli-belah besar seperti Nu Sentral.

“Walaupun baru beroperasi awal tahun ini, sambutan diterima sangat memberangsangkan. Kami juga berterima kasih kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) kerana memberi peluang dan tunjuk ajar sehingga sekarang,” katanya.

Ruhainies gilakan dessert coklat manis

Bagi pelakon yang dikenali menerusi drama Hello Mr Perfect, Nur Ruhainies Zainul Ilyas, ‘dessert’ adalah ‘penghilang stres’ paling mujarab ketika dia penat selepas seharian berada di lokasi penggambaran.

Aktres berusia 24 tahun itu mengakui sangat meminati makanan manis (dessert lover) terutama berasaskan coklat.

“Sejak kecil saya sangat sukakan makanan seperti coklat, aiskrim, penkek dan kek. Malah dahulu sering menyediakan pelbagai jenis pencuci mulut yang lazat.

“Namun saya tidak menjadikannya sebagai makanan harian atau aktiviti rutin kerana sedar akan risikonya, sebaliknya saya seimbangkan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di Paddington House of Pancakes, baru-baru ini.

Ruhainies juga mengakui sering mengunjungi cawangan restoran itu di pusat beli-belah The Curve, Damansara yang berdekatan dengan kediamannya.

“Paddington House of Pancakes adalah antara ‘port’ yang saya suka kunjungi terutama bersama keluarga dan rakan. Penkek yang dihidangkan sangat lembut dan enak.

“Rasanya juga seimbang. Pelanggan juga boleh menikmati pelbagai jenis penkek dengan pelbagai perasa,” katanya.

Tidak hanya berlakon, Ruhainies juga hos program travelog. Walaupun pembabitannya dalam dunia lakonan baru setahun jagung, dia berbesar hati ditawarkan menjadi hos dan penggambaran program itu dijangka bermula bulan depan.

Selain mengacara dan berlakon, Ruhainies juga mengeluarkan single terbaru bertajuk Maaf, bersama penyanyi Asfan, bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:01 AM