ZORAYA bersama Christina (kiri) dan Grace (tengah).
ZORAYA bersama Christina (kiri) dan Grace (tengah).
Oleh Aniza Zainudin

Konsep penkek ‘Do It Yourself’ (DIY) menjadi tarikan istimewa bagi pengunjung restoran rangkaian francais dari Amerika Syarikat, Slappy Cakes, untuk merasai pengalaman menghasilkan penkek buatan sendiri.

Bukan saja kanak-kanak terhibur ‘melukis’ penkek di atas kuali bersuhu 180 darjah Celsius, bahkan golongan dewasa turut berkongsi keseronokan mencipta penkek sendiri mengikut kreativiti masing-masing.

Menawarkan empat variasi adunan tepung menghasilkan penkek seperti ‘buttermilk’, coklat, mentega kacang dan gandum, pengunjung boleh membuat pilihan sama ada satu jenis mahupun kombinasi.

Didatangkan dengan botol, ia memudahkan pelanggan untuk mereka bentuk penkek, sebelum ia dihiasi bersama hirisan buahan dan kekacang pilihan.

Selepas beberapa minit, dengan mudah penkek itu diterbalikkan untuk memastikan sebahagian lagi masak. Penkek masak sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga minit.

Sebelum menikmati penkek ‘homemade’ dengan bentuk unik, langkah terakhir, pelanggan perlu meletakkan sirap pilihan sebagai penambah kelazatan.

Antaranya madu, mentega kacang, jem strawberi, krim putar, sirap mapel, ais krim dan tidak ketinggalan, lemon curd yang menjadi ‘signature’ Slappy Cakes.

Menurut Pengarah Slappy Pancakes Malaysia Sdn Bhd, Christina De Castro, ramuan penkek dan menu lain dihasilkan segar dari dapur Slappy Cakes setiap hari bagi memastikan kualiti terjamin dan mengekalkan cita rasa yang enak.

“Kita berusaha memastikan setiap sajian di Slappy Cakes menepati selera pelanggan dan mengelakkan penggunaan buahan dalam tin.

“Seperti Egg Benedict, kita menghasilkan mufin segar setiap hari, begitu dengan sos ‘hollandaise’ ciptaan chef yang terlatih.

“Selain penkek dan Egg Benedict, pengunjung harus mencuba ‘Housemade Granola’ Slappy Cakes yang sentiasa menjadi pilihan.

“Gabungan kelapa, kekacang dan oat yang dimasak selama enam jam membuatkan ia benar-benar rangup dan enak dihidang bersama yogurt.

“Kita turut menawarkan pilihan menu barat lain termasuk spageti, omelet dan beberapa sajian lain,” katanya yang turut ditemani Pengarah Eksekutif Slappy Cakes Malaysia, Grace Hi.

Katanya lagi, Slappy Cakes bukan sekadar tempat menjamu selera malah ia menjadi lokasi terbaik untuk menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga dan teman sambil melakukan aktiviti penkek ‘DIY’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:00 AM