SULTAN Ibrahim sebelum memulakan pemanduan kereta api di Stesen KTMB Johor Bahru Sentral.
SULTAN Ibrahim sebelum memulakan pemanduan kereta api di Stesen KTMB Johor Bahru Sentral.
myMetro

Kuala Lumpur: “Bawa (pandu) kereta api hari ini bagus, dia (KTMB) dah tukar enjin baru,” demikian kata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkongsi pengalamannya menggunakan lokomotif berkuasa tinggi sebaik tiba di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), semalam.

Baginda tiba di stesen berkenaan tepat jam 4 petang selepas memandu sendiri lokomotif Tanjung Kupang 26108 dari Stesen JB Sentral sejak jam 9.30 pagi.

Baginda berkata, semalam adalah pemanduan yang ke-14 sejak memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada 2010.

“Kereta api ini memang disimpan di Kempas, Johor dan dikhaskan untuk kegunaan saya. Bila saya teringin, saya akan bawa.

“Beberapa hari lagi saya akan bawa balik ke Johor,” katanya ketika ditemui pemberita di stesen itu semalam.

Ketibaan baginda disambut Ketua Transformasi KTMB Afzar Zakaria, kakitangan KTMB serta orang awam yang berada di stesen itu.

Difahamkan kereta api berkenaan digunakan baginda sejak Kembara Mahkota Johor (KMJ) pada 2010 dan kelajuannya boleh mencecah maksimum 120 kilometer sejam.

Sultan Ibrahim berkata selepas Aidilfitri rutinnya sibuk dengan program KMJ dan tahun depan baginda akan menggunakan kereta api sebagai kenderaan rasmi sempena acara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 12:15 AM